Kitab Suci: Ibrani 2:1
Sebuah kereta terkeluar dari jalan, masuk ke dalam parit dan mengorbankan nyawa seluruh keluarga di dalamnya. Pemandu kereta itu tidak memberi perhatian. Seorang pesakit hospital segera meninggal setelah tersalah diagnosis. Doktor tidak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya. Sebuah perkahwinan berakhir dengan perceraian. Amaran ada di sana tetapi tiada sesiapa yang mengendahkannya. Memberi perhatian itu penting; teruk akibatnya jika kita tidak memberi perhatian.
Dan di sini kita diingatkan kembali dalam Kitab Suci bahawa “kita harus lebih memperhatikan apa yang telah kita dengar.” Ada kalanya dalam kehidupan anda, Injil dikongsi kepada anda. Anda mendengarnya, menerimanya, mempercayainya, dan memulakan hidup baharu anda di dalam Kristus. Namun pertanyaan di sini adalah: Adakah anda masih memberi perhatian terhadapnya? Atau adakah anda terhanyut kepada hal-hal yang lain?
Berhati-hatilah kerana banyak perkara di luar sana yang berebut mendapatkan perhatian anda. Kuasa yang ada sanggup menghabiskan berbilion-bilion hanya untuk mendapatkan perhatian anda walaupun sedikit. Mereka memahami bahawa perhatian anda sangat berharga. Mengapa? Kerana perhatian anda adalah pintu masuk ke fikiran dan hati anda. Dan apa-apa pun yang memikat hati anda akhirnya akan mempengaruhi keinginan anda. Kita tidak boleh terlalu berhati-hati di sini. Perhatian anda adalah sumber daya yang terbatas. Sekali diberikan, ia akan hilang. Jadilah bijak kepada siapa dan kepada apa anda memberikannya.
Jadi apa penapisnya? Perkataan “hanyut” sangatlah penting. Jika apa-apa yang anda berikan perhatian menyebabkan anda semakin menjauhi Kristus, maka hal itu tidak ada gunanya. “Potonglah,” seperti yang Yesus pernah katakan (Matius 5:30). Kejadian sebuah kereta yang terkeluar dari jalan dan masuk ke dalam parit adalah sebuah tragedi, namun yang lebih buruk lagi adalah kehidupan yang terhanyut ke dalam kekekalan tanpa Tuhan.
Doa:
Bapa Syurgawi yang terkasih, Engkau memanggil kami untuk mendekat kepada-Mu meskipun kami sangat mudah terhanyut. Bersihkanlah tangan kami, sucikanlah hati kami, dan ampunilah keragu-raguan kami. Kami merendahkan diri kami di hadirat-Mu. Arahkanlah pandangan kami kepada-Mu. Amin.
Berdoa agar semua rakyat Malaysia mengamalkan budaya hormat-menghormati dalam kalangan kepelbagaian kaum kita, menghormati satu sama lain dengan ucapan, tingkah laku, dan sikap kita.
Berdoa agar gereja-gereja dan organisasi Kristian memupuk semangat hormat-menghormati antara satu sama lain, tanpa sebarang rasa saingan, perbandingan, atau kritikan, kerana mengetahui bahawa masing-masing telah dipanggil untuk melayani dalam peranan dan tugas yang diberikan Tuhan.
Rev Lee Yew Meng
Comments