top of page

Doa Sebagai Pengampunan


Matius 6:5-15 (AVB)

5 "Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. 6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.

7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.

9 Berdoalah demikian:

'Ya Bapa kami yang di syurga,

sucilah nama-Mu.

10 Datanglah kerajaan-Mu.

Terlaksanalah kehendak-Mu

di bumi sebagaimana di syurga.

11 Berilah kami makanan untuk hari ini.

12 Ampunkanlah kesalahan kami

sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.

13 Janganlah biarkan kami tergoda,

tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.

Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.'

14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu."


Ayat 12

12 Ampunkanlah kesalahan kami

sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.


Selagi kita hidup di bumi ini, kita tidak dapat elak daripada berdosa di dalam fikiran, percakapan dan perbuatan kita terhadap Allah Bapa dan orang lain. Kita juga tidak dapat mengelak daripada disakiti atau dilukai oleh orang lain melalui percakapan, sikap dan perbuatan atau kelakuan mereka.


Oleh itu, Tuhan Yesus mengajar pengikutNya bahawa setiap kali mereka datang ke hadirat Tuhan untuk berdoa, mereka perlu terlebih dahulu meminta Allah Bapa mengampuni dosa peribadi mereka.


Seperti mereka, kita perlukan Allah Bapa menyucikan dan mentahirkan hati kita yang mungkin penuh dengan kemarahan, kedengkian atau rasa cemburu, mulut kita yang mungkin telah mengutuk, memarahi, menfitnah atau tangan kita yang mungkin telah memukul atau mencuri. Daripada menerima pengampunan dosa kita sendiri daripada Allah Bapa, barulah kita layak dan dibolehkan untuk mengampuni orang lain yang telah berbuat jahat atau melukai kita samada dengan percakapan atau perbuatan.


Tuhan Yesus telah menegaskan prinsip ini dengan ajaran seterusnya dalam ayat 14,15;

14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu."


Meminta ampun dari Allah Bapa memerlukan kerendahan hati dan mengampuni orang yang telah berbuat jahat terhadap kita atau yang telah menyakiti kita dan melukai hati kita memerlukan kasih karunia .Secara daging, ia memang susah dan seringkali kita tidak mahu.


Tetapi kalau kita ingin Allah Bapa mengampuni dosa kita serta mendengar doa kita, kita perlu dan harus mengampuni orang lain dengan kekuatan ilahi yang diberikan oleh Allah Bapa kita. Ia bukan satu pilihan tetapi adalah syarat yang mesti dipatuhi jika kita mahu diampuni oleh Allah Bapa dan doa kita didengar dan dikabul oleh Dia.


Doa

Allah Bapa,

aku bersyukur bahawa Engkau sangat murah hati dan penuh dengan kasih setia dan kasih karunia untuk mengampuni dosaku setiap kali aku berdosa dan minta pengampunanMu.


Aku mengaku adalah sangat susah bagi aku mengampuni orang lain yang menyakiti hatiku. Berilah kekuatan dan kasih karuniaMu kepada aku untuk rela benar benar mengampuni mereka di dalam hatiku. Amin.


Pr. Lam Kee Hing

Komentarai


bottom of page