top of page

Doktrin Tritunggal




Doktrin “Tritunggal”, atau dalam Bahasa Inggeris, “trinity”, merupakan sebuah doktrin yang membezakan kepercayaan Kristian dari kepercayaan-kepercayaan yang ada di muka bumi.


Doktrin ini juga sangat kompleks dan rumit untuk ditafsir mahupun dijelaskan dengan lanjut.


Justeru, ramai orang termasuk umat Kristian merasa bingung atau salah faham mengenai doktrin ini.


Dalam video ini, kami akan membantu anda membincangkan doktrin Tritunggal apabila diterjah dengan soalan.


Jadi, apakah itu Tritunggal? Untuk menjawab soalan tersebut, kami menggunakan rumusan dari ahli teologi Puritan, B.B. Warfield, yang mengatakan bahawa Tuhan itu esa dalam satu kesatuan yang terdiri daripada tiga peribadi yang sama dari segi darjat dan berkekalan selamanya.


Rumusan B.B. Warfield boleh dibahagikan kepada 5 perkara dan ini boleh digunakan dalam perbincangan mengenai doktrin Tritunggal.


Perkara #1: Tuhan itu Esa


Alkitab sangat menekankan perkara ini.


Ulangan 6:4 menyebut bahawa Tuhan itu esa.


Jadi, jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa umat Kristian percaya lebih daripada satu Tuhan, mereka telah diperdayakan ataupun diberikan fakta yang diputarbelitkan.

Beritahu mereka: Alkitab mengatakan bahawa Tuhan itu esa.


Perkara #2: Bapa adalah Tuhan


Ini bukanlah perkara yang menimbulkan kontroversi. Ini merupakan satu perkara yang boleh ditemui di mana-mana bahagian dalam Alkitab. Bahkan ini boleh ditemui di dalam semua pembukaan surat-surat yang ditulis oleh rasul Paulus seperti Filipi 1:2, Ephesus 1:2, Galatia 1:3 dan sebagainya.


Berikut adalah pembukaan di dalam surat yang ditulis rasul Paulus:


Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus.


Jadi, tidak ada pertikaian bahawa Bapa adalah Tuhan dan ini membawa kita kepada perkara yang ketiga!


Perkara #3: Yesus itu Tuhan


Ini merupakan perkara yang selalu menimbulkan kontroversi antara semua lima perkara yang kita bincangkan dalam video ini.


Jika kita ingin menyampaikan perkara ini dengan jelas, kita harus bersedia untuk berbincang mengenai ketuhanan Yesus atau menyampaikan kebenaran doktrin Tritunggal. Namun, perkara ini sangat jelas di dalam Alkitab.


Yohanes 1:1 mengatakan:


Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Tuhan dan Firman itu ialah Tuhan.


Jika ini tidak cukup jelas, dalam Roma 9:5, rasul Paulus menyebut mengenai suku bangsa Israel:


Mereka ialah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah Kristus lahir sebagai manusia.

Dialah yang terutama dari segala sesuatu,

Allah yang terpuji selama-lamanya. Amin.


Jadi, kita telah membuktikan bahawa Tuhan itu esa, Bapa adalah Tuhan dan Yesus adalah Tuhan. Dengan itu, kita pergi kepada perkara yang keempat!


Perkara #4: Roh Kudus adalah Tuhan


Dalam Kisah Para Rasul 5:3-4, rasul Petrus memarahi Ananias dengan berkata:


..."Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Kudus...Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah."


Rasul Petrus mengatakan bahawa Ananias yang berdusta kepada Roh Kudus, telah berdusta kepada Allah. Kenapa Petrus membuat persamaan sedemikian? Kenapa Petrus berbuat sedemikian? Jawapan yang ringkas adalah, Petrus mengambil kira Roh Kudus adalah Tuhan dan menganggap berdusta kepada Roh Kudus bermaksud berdusta kepada Tuhan.


Juga, dalam Alkitab, Yesus sendiri memberi penggambaran yang jelas mengenai Roh Kudus. Dalam Injil Markus 3:29,


Yesus berfirman:-


“Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.”


Yesus tidak menganggap pengkufuran terhadap Roh Kudus sebagai salah satu dosa tetapi menganggap ia sebagai satu dosa besar yang tidak boleh diampuni.

Jadi, kita harus tahu bahawa hanya Tuhan sahaja yang boleh dikufurkan dan mengkufuri Roh Kudus adalah satu dosa besar. Ini bermaksud Roh Kudus adalah Tuhan.


Mari kita teruskan kepada perkara #5


Perkara #5: Mereka adalah Berbeza dari satu sama Lain.


Kita telah menunjukkan bahawa Bapa, Yesus dan Roh Kudus adalah Tuhan dan Tuhan itu esa (seperti di bincangkan dalam perkara #1).


Al-Kitab menunjukkan ketiga-tiga peribadi ini adalah berbeza dari satu sama lain. Kita juga dapat melihat dalam Injil Lukas 3:22 sewaktu Yesus dibaptiskan oleh Yohanes Pembaptis dan Roh Kudus turun kepadaNya dari syurga seperti burung merpati.


Lalu, suara dari syurga berfirman,


"Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan."


Jadi, kita dapat lihat dari sini bahawa Roh Kudus turun kepada Yesus dan suara dari syurga adalah dari Bapa menyatakan Yesus di Sungai Yordan sebagai Anak-Nya yang dikasihi.


Di sini, mereka tidak terpisah dari satu sama lain biarpun berbeza.


Yesus sendiri juga mengutarakan perkara ini dengan jelas. Dalam Injil Lukas 22:42,

sewaktu berada di Bukit Zaitun,


Yesus berdoa kepada Bapa dan berkata,


"Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu,

jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan."


Yesus membezakan antara kehendakNya dan kehendak Bapa. Ini memberi kita gambaran bahawa Yesus bukanlah Bapa dan tiada gambaran lain yang lebih jelas daripada ini. Justeru, ini memberi kita gambaran bahawa Yesus adalah berbeza daripada Bapa.


Sebagai kesimpulan, kita telah melihat dengan lanjut kesemua lima perkara

dalam membincangkan perihal doktrin Tritunggal.


#1 Tuhan itu Esa

#2 Bapa adalah Tuhan

#3 Yesus adalah Tuhan

#4 Roh Kudus adalah Tuhan

#5 Mereka adalah berbeza dari satu sama lain.


Jadi, sebagai umat Kristian, kita percaya bahawa Tuhan itu esa, yang telah menyatakan dirinya dalam tiga peribadi yang berbeza: Bapa, Anak (Yesus) dan Roh Kudus. Salah satu penerangan yang paling bernas adalah daripada mendiang Nabeel Qureshi, yang menjelaskan Tritunggal sebagai satu APA dan tiga SIAPA.


Perkataan APA sini bermaksud satu kewujudan. Apakah anda? Anda adalah manusia. Apakah saya? Saya juga adalah manusia. Namun, perkataan SIAPA merujuk kepada seseorang secara terperinci.


Jadi, di sini, jika anda bertanya soalan, “apakah Tuhan?”, jawapannya: Tuhan adalah esa dan anda boleh memberi rumusan mengenai siapakah Tuhan dengan soalan tadi. Tetapi, jika anda bertanya, “siapakah Tuhan?”, anda bertanya soalan yang menyentuh identiti atau sifat kewujudan tersebut.Justeru, soalan ini harus diberikan jawapan mengenai SIAPA 3 peribadi yang membentuk sesebuah kewujudan Tritunggal.


Ada 3 SIAPA: Bapa, Anak dan Roh Kudus yang memberi gambaran satu APA dalam Tuhan.


Nama saya Ezra Jalin dan bertemu lagi di episod seterusnya!

Comentários


bottom of page