top of page

Dosa Itu Pelanggaran Terhadap Hukum Allah


“Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah.” – 1 Yohanes 3:4 Alkitab Berita Baik


Dosa ialah pelanggaran terhadap hukum Tuhan. Oleh itu, setiap pelanggaran terhadap hukum Tuhan merupakan dosa. Pelanggaran ini mungkin terjadi dalam tiga aspek hidup kita, iaitu melalui perbuatan, kata-kata, dan fikiran yang jahat.


Dosa, sebagai pelanggaran terhadap hukum Tuhan, dapat diatasi dengan pertolongan-Nya. Kita hendaklah membiarkan seluruh hidup kita dikuasai oleh Roh Tuhan. Apabila Roh Tuhan menguasai hidup kita, perbuatan, kata-kata, dan fikiran kita akan dipimpin oleh-Nya.


Galatia 5:22-23a AVB: “Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri.”


Oleh itu, kita harus membiarkan Roh Tuhan menguasai dan membimbing seluruh hidup kita setiap hari, agar kita sentiasa menjalani hidup berdasarkan hukum Tuhan. Roh Tuhan yang menguasai kita akan menolong dan memampukan kita untuk hidup menurut hukum-Nya.


Marilah kita berusaha mengelakkan diri daripada dikuasai oleh dosa, kerana dosa akan menyebabkan perbuatan, kata-kata, dan fikiran kita tidak diperkenan Tuhan. Selain itu, kita kehilangan kedamaian, ketenangan, dan kebahagiaan dalam hidup ini.


Datanglah kepada Tuhan untuk memohon pengampunan sekiranya kita telah melanggar hukum-Nya melalui perbuatan, kata-kata, dan fikiran kita. Tuhan yang maha kasih dan adil akan mengampuni kita apabila kita mengakui dosa-dosa kita di hadapan-Nya.


Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan atas segala dosa dan pelanggaran dalam hidupku. Bersihkan dan sucikanlah aku daripada segala dosaku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comentarios


bottom of page