top of page

Duduk Bersama


Efesus 2:6, “Allah telah membangkitkan kita bersama Kristus Yesus, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga.


Surat yang ditulis oleh rasul Paulus kepada orang-orang percaya di Efesus sangat kaya dengan kebenaran-kebenaran yang memberi pencerahan rohani yang luarbiasa tentang siapa diri kita di hadapan Tuhan. Apabila saya membaca surat Efesus ini, saya berasa sangat bersyukur dan hati saya dengan tidak henti-hentinya memuji Tuhan kerana betapa baiknya dan luarbiasanya kasih karunia-Nya terhadap kita semua. Sejak dari awalnya Tuhan telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus, bahkan sebelum dunia dibentuk Dia telah memilih kita, Dia telah menentukan dari mulanya untuk kita menjadi anak-anak-Nya, dan mendapat warisan dalam Kristus Yesus. Bukan itu sahaja bahkan kebenaran hal ini dimateraikan dengan Roh Kudus yang menjadi jaminan bagi kita (Efe 1:3-14). Betapa luarbiasa kayanya kasih karunia Allah terhadap kita yang percaya kepada-Nya.


Sebagai orang percaya kita sangat sedar pada hakikat kebenaran kasih karunia Tuhan yang telah melakukan segala-galanya bagi kita supaya kita hidup di dalam-Nya. Kita yang dahulunya mati oleh kerana dosa-dosa kita dan hidup terpisah daripada Allah, namun kini kita telah diperdamaikan dengan Allah melalui Kristus. Kita telah dihidupkan dan diselamatkan, kita telah dibangkitkan dan didudukkan bersama dengan Kristus di syurga. Ini adalah suatu kebenaran yang sangat luarbiasa bagi saya. Ramai daripada kita tahu tentang siapa diri kita di dalam Kristus; iaitu kita telah dihidupkan dan diselamatkan. Ini adalah hal yang luarbiasa. Tetapi ramai juga daripada kita tidak berapa sedar hakikat ayat-ayat yang mengatakan bahawa kita juga telah dibangkitkan dan didudukkan bersama Kristus Yesus di syurga!Cuba berhenti sejenak dan renungkan kata-kata ayat ini. Jika kita benar-benar merenungkan serta menghayati kata-kata dibangkitkan dan didudukkan bersama dengan Kristus di syurga di dalam hidup kita, maka saya rasa kita sebagai orang percaya benar-benar dapat hidup sebagai orang-orang yang lebih daripada pemenang!


Apa yang dimaksudkan dengan kata dibangkitkan? Seseorang tidak boleh bangkit kalau dia tidak mati, betul tak? Dia harus mati dahulu barulah dia dapat dibangkitkan. Hakikatnya kita telah mati secara rohani oleh kerana dosa kita. Tetapi “Allah telah membangkitkan kita bersama dengan Kristus Yesus” (Efe 2:6a). Apabila Yesus bangkit daripada kematian-Nya, Dia telah membawa kemenangan yang luarbiasa yang menaklukkan kuasa dosa, kuasa maut dan kuasa kegelapan syaitan (Efe 1:21). Apabila kita percaya kepada Yesus, maka kita telah dipersatukan dengan Kristus Yesus dan dengan kuasa kebangkitan-Nya. Maka kuasa kebangkitan dan kemenangan Kristus Yesus itu juga menjadi milik kita. Dengan itu apabila kita dibangkitkan dengan kristus secara rohani, kita mendapat hidup yang baru, identiti yang baru, harapan yang baru, tujuan yang baru, segala-galanya baru di dalam Kristus (2 Kor 5:17).


Bagaimana pula dengan kata didudukkan bersama dengan kristus di syurga. Ini adalah kenyataan yang terlalu luarbiasa yang harus kita fahami. Ini adalah kedudukan kita yang sebenar bersama Kristus Yesus. Didudukkan bersama dengan Kristus di syurga ini bukan merujuk kepada apa yang akan terjadi di masa hadapan selepas kita meninggal dunia, tetapi sekarang ini juga! Secara rohani kita telah didudukkan bersama dengan Kristus di syurga. Kita duduk bersama dengan-Nya. Kedudukan atau posisi rohani kita sekarang ialah duduk bersama dengan-Nya di syurga. Dimanakah Kristus berada sekarang? Dia duduk di sebelah kanan Allah Bapa (Ibr 1:3b). Maka kita juga berada bersama dengan Dia di mana Dia berada! Jika kita duduk di sebelah-Nya bersama dengan-Nya, apakah kita masih lagi takut mati? Takut miskin? Takut syaitan? Adakah kita masih lagi mahu memenuhi nafsu kedagingan kita: Kecemaran, percabulan, kebencian, perbalahan, iri hati, marah-marah, berprasangka buruk, tamak, pentingkan diri sendiri, menfitnah, gosip, kuatir, ataupun membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain? Janganlah kita menghina Dia. Marilah kita menghormati Dia yang telah mendudukkan kita bersama-sama dengan-Nya dengan sikap yang benar dan murni di hadapan-Nya.


Cuba bayangkan, secara rohani kita sekarang ini duduk bersama dengan Kristus Yesus di syurga. Secara fizikal kita hidup dengan kuasa kebangkitan Kristus dan Roh Kudus yang menghidupi kita. Cuba kita fahami dan serapkan kebenaran Firman Tuhan yang luarbiasa ini. Sekiranya kita mengerti dan memahami dengan benar kebenaran Firman Tuhan ini, maka sikap dan perilaku kita sama ada terhadap Tuhan, diri kita sendiri mahupun terhadap orang lain akan jauh berbeza berbanding dengan sikap orang yang tidak mengenal Tuhan. Marilah kita renungkan dan temukan jati diri kita di dalam Kristus Yesus kerana kita telah dibangkitkan dan didudukkan bersama dengan-Nya di syurga!


“…jika kamu telah dibangkitkan bersama Kristus, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat Kristus duduk di sebelah kanan Allah. Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi. Kerana kamu telah mati dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah” (Kol 3:1-3).


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen.


Tuhan Memberkati,

Sue

Comments


bottom of page