top of page

Fokus Kepada Kehadiran Allah


Ayat Alkitab Utama: Mazmur 23:5

Engkau menyediakan hidangan bagiku, di hadapan lawanku; Engkau mengurapi kepalaku dengan minyak; pialaku penuh melimpah.


Renungan Singkat:

Dalam kutipan firman di atas, terdapat dua jenis kehadiran (presence) iaitu;

1) “Engkau” mewakili kehadiran Allah (presence of God)

2) “lawan” mewakili kehadiran pihak kejahatan atau musuh (presence of evil)


Kehadiran dua entiti ini menggambarkan pengalaman kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi ini seperti yang dialami oleh Daud suatu ketika dahulu. Allah tidak pernah berkata di dalam Alkitab bahawa hidup kita akan dipenuhi kehadiran Allah sahaja tanpa kehadiran kejahatan atau musuh. Allah hanya berjanji bahawa Dia pasti akan menyertai kita sampai selama-lamanya dalam apa pun yang kita hadapi sebagai anak Allah.


Daud berhadapan dengan dua perkara; hidangan yang disediakan oleh Allah, dan pada masa yang sama, kehadiran lawan di hadapannya. Jika anda berada di posisi Daud, mana satukah yang bakal anda fokuskan? Sememangnya bukan mudah untuk memfokuskan hidangan yang disediakan Allah bagi kita apalagi di tengah-tengah keberadaan musuh kita, namun itulah yang Daud telah lakukan. Daud sedar akan kehadiran lawan, namun tidak disebutkan lagi apa yang terjadi atau apa yang dilakukan oleh lawan tersebut kerana Daud begitu asyik memfokuskan perhatian terhadap apa yang dilakukan oleh Allah.


Ketika kita memfokuskan perhatian kita terhadap pekerjaan Allah, lawan atau musuh kita menjadi senyap. Seperti Daud yang memfokuskan perhatian hanya kepada hidangan Allah (berkat jasmani atau rohani) dan pengurapan Allah (hikmat, kebijaksanaan atau ketajaman fikiran), pialanya menjadi penuh melimpah. Saya percaya hidup kita juga mengalami kepenuhan saat kita menjadi seperti Daud yang memfokuskan perhatiannya kepada Allah dan bukan kepada masalah semata-mata.


Doa

Bapa, kami tahu bahawa kami akan mengalami yang baik dan yang jahat selagi kami hidup di muka bumi ini. Namun, kami percaya ya Bapa bahawa dalam semuanya itu, kami boleh diberkati dengan mengubah respon kami dengan memfokuskan perhatian kami kepada-Mu dan bukan kepada masalah terus-menerus. Terima kasih kerana hidangan dan pengurapan yang Engkau sediakan kepada kami pada hari ini kerana anugerah ini memampukan kami untuk terus mengalami kepenuhan hidup, dalam nama Yesus Kristus, kami berdoa, amen!


Pr Roy Dinsim

Comments


bottom of page