top of page

Gantikan Keraguan Kita dengan Keyakinan


'Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.” ' (Lukas 7:23) AVB


Ketika Yohanes Pembaptis yang berada di dalam penjara menerima berita daripada para pengikutnya tentang Yesus, dia memanggil dua orang daripada mereka dan menyuruh mereka pergi bertanya kepada Tuhan Yesus, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?”


Sewaktu para pengikut Yohanes datang bertemu dengan Tuhan Yesus, pada ketika itu Yesus sedang menyembuhkan ramai orang yang sakit, mengusir roh-roh jahat, dan mencelikkan mata orang buta. Maka mereka sendiri menyaksikan semua mukjizat yang sedang dilakukan oleh Yesus terhadap orang yang datang kepada-Nya.


Lalu Yesus menjawab pertanyaan utusan-utusan Yohanes dengan berkata, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula serta perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin."


Setelah itu Yesus berkata kepada para pengikut Yohanes, "Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.”


Keraguan Yohanes Pembaptis terhadap Yesus timbul kerana dia sedang dipenjarakan oleh Herodes. Apabila dia mendengar tentang pelayanan Yesus yang penuh dengan mukjizat, dia ingin mendapatkan kepastian, memandangkan dirinya ialah orang yang diutus untuk mempersiapkan jalan bagi Mesias. Melalui tanda-tanda ajaib yang dinyatakan, Yesus meminta agar Yohanes terus percaya dan tidak ragu terhadap-Nya.


Oleh itu, marilah kita meletakkan sepenuh iman dan kepercayaan kepada Tuhan Yesus tanpa ragu, kerana keraguan akan melemahkan keyakinan kita terhadap kuasa Tuhan dalam hidup ini. Sebaliknya, keyakinan dalam Yesus akan menguatkan kita untuk terus teguh menghadapi setiap cabaran hidup.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon agar Engkau memberikanku hati yang sentiasa berserah kepada-Mu. Ajarlah aku untuk beriman sepenuhnya kepada-Mu dalam setiap langkah hidupku setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page