top of page

Hadiah Hari Jadi Yesus


Saya tergerak untuk menulis artikel berkenan dengan menyambut hari Natal atau Krismas, sudah semestinya suatu yang dinantikan perayaan ini untuk diraikan lebih-lebih lagi umat Kristian.


Saya ingin mengajukan suatu pertanyaan kepada semua orang, apakah yang terlintas di fikiran kamu tentang Natal? Sebelum ini saya pernah bertanya dengan beberapa pemuda di pelbagai tempat, ada yang menjawab, karoling, tukar hadiah, makan, fellowship, dan sebagainya. Bagus sekali cadangan dan jawapan yang diberikan, tapi adakah itu maksud natal yang dikatakan? Natal itu tentang apa? Pokok Krismas? Santa Claus? Kuda terbang? Hadiah di poket stoking? Bagi saya itu bukan tidak boleh buat; boleh tapi apakah itu penting? Perlu kah?

Sebelum kita membuat apa pun acara/program Natal mari kita lihat sejarah menurut Alkitab.


Di dalam Alkitab hanya menyebut Yesus lahir ke dunia seperti ini “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung." Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah: "Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya." (‭‭Lukas‬ ‭2‬:‭11‬-‭14‬) Bayangkan keadaan Yesus lahir di kandang haiwan campur dengan bau-bau yang tidak menyenangkan.


Dengan sejarah seperti yang sedia maklum, kita tahu bahawa Tuhan pernah mengalami suatu tahap paling hina sekali.


Untuk kita menghayati Natal yang sebenar, mari kita mengubah arah kita kepada sesuatu yang baru. Kalau lah sebelum ini kita selalu bertukar hadiah, dan hadiah yang kita bertukar itu bukan keperluan kita, sudah tentu ‘hadiah’ bermaksud apa yang kita mahukan bukan?


Ada seorang pastor pernah bertanya suatu soalan kepada saya, "Siapa punya hari lahir dia layak minta apa pun hadiah yang dia mahu". Kalau kita anggap Hari Natal ini adalah hari lahir-Nya Tuhan Yesus, agak-agaknya apa yang Dia minta?


“Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.' Orang yang benar itu pun bertanya, 'Tuhan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman? Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian? Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?' Raja akan menjawab, 'Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.'” (‭‭Matius‬ ‭25‬:‭35‬-‭40)


Ini kata Alkitab. Saya pernah melihat satu gambar dengan ungkapan, "want to keep Christ in Christmas, feed the hungry, comfort the afflicted, love the outcast, forgive the wrongdoer, inspire the hopeless" (inginkan Kristus ada dalam Natal, berilah makanan kepada yang lapar, hiburkan yang menderita, kasihi orang yang dibuang, ampuni orang yang bersalah, ilhami orang yang berputus asa)


Marilah kita mengubah cara kita meraikan hari Krismas pada tahun ini.


Penulis Artikel : Kelvin Felix Sumber : Pr Edmund Kumar - Facebook

Comentarios


bottom of page