Semenjak dari hari Yesus dibaptis di sungai Yordan dan memulai pelayanan-Nya, Dia telah mencuri perhatian orang ramai dengan kewibawaan diri-Nya, kata-kata serta perbuatan-perbuatan-Nya dalam melakukan mukjizat-mukjizat yang tidak pernah dilihat oleh mata kasar manusia pada zaman itu. Kehadiran-Nya membawa satu sinar baru dalam kehidupan manusia. Dia menjadi begitu viral. Ke mana sahaja Dia pergi, Dia menjadi perhatian umum, kata-kata-Nya yang menyegarkan dan membebaskan jiwa, mukjizat-mukjizat-Nya yang menyembuhkan dan memulihkan kehidupan serta keperibadian-Nya yang lembut dan penuh dengan kasih memenangi jiwa setiap insan yang mengikuti-Nya. Bagi orang-orang yang mengikuti-Nya, mereka merasakan seolah-olah Syurga turun ke bumi! Ke mana sahaja Yesus pergi, orang ramai pasti akan berbondong-bondong mengikuti-Nya.
Namun, ketika saatnya telah tiba untuk Yesus menyempurnakan misi-Nya di bumi ini, Dia dikianati oleh orang-Nya sendiri, ditangkap dan diseksa dengan cara yang luarbiasa sekali. Dia ditinggalkan bukan sahaja oleh orang ramai yang mengikuti-Nya mahupun murid-murid-Nya yang sentiasa bersama dengan-Nya, bahkan Bapa Syurgawi yang Yesus katakan bahawa “Bapa dan Aku adalah satu” juga meninggalkan Dia! Betapa malangnya! Sewaktu Yesus berada di atas kayu salib, Dia berteriak dengan suara yang lantang, “Eloi, eloi, lama sabakhtani?” yang bermaksub “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapakah Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Mengapakah Tuhan Bapa meninggalkan anak kesayangan-Nya? Bukankah Bapa begitu berkenan kepada-Nya? Mengapakah Bapa memalingkan muka-Nya dan meninggalkan Dia? Terasa benar seolah-olah Syurga begitu sunyi dan sepi.
Di sepanjang hidup Yesus di bumi, hadirat dan perkenanan Bapa sentiasa menyertai-Nya. Bapa ialah Tuhan yang Maha kudus dan juga Tuhan yang Maha adil. Manusia pula penuh dengan dosa. Kekudusan Bapa tidak dapat bertembung dengan cemar dosa manusia. Sebab upah dosa ialah maut. Maka manusia seharusnya mati. Namun ketika Yesus berada di atas kayu salib. Dia mengambil dan mengantikan tempat kita sebagai manusia berdosa. Dia menangung segala penghakiman di atas setiap dosa yang menuntut keadilan dan kemurkaan Tuhan yang seharusnya menimpa kita. Dan kerana itu, apabila Yesus berteriak “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapakah Engkau meninggalkan Aku?” Bapa memalingkan muka-Nya daripada Yesus. Dia tidak melihat Yesus sebagai Anak-Nya yang dikasihi tetapi Dia melihat manusia yang penuh dengan dosa yang sememangnya layak untuk menerima hukuman dan kemurkaan-Nya. Dia membiarkan Yesus menanggung kemurkaan-Nya. Kematian-Nya membayar segalanya. Hanya dengan cara inilah barulah kita dapat berdamai semula dengan Tuhan dan Bapa dapat mencurahkan rahmat dan kasih karunia-Nya yang tidak terhingga kepada kita yang percaya kepada-Nya. Kerana ketika Bapa melihat kita umat manusia, Dia melihat Yesus yang dikasihi-Nya dalam diri kita. Betapa besar kasih-Nya terhadap kita. Dia menebus kita dengan meninggalkan Anak-Nya supaya kita dapat menjadi anak-anak-Nya yang dikasihi.
Sewaktu Yesus berada di atas kayu salib, untuk pertama kalinya Dia secara sedar merasakan ketiadaan hadirat Bapa dalam hidupnya. Bapa tidak menyertai-Nya. Bapa tidak ada bersama-Nya! Bapa meninggalkan-Nya! Namun kematian-Nya itu sangat berbaloi kerana Hadirat Tuhan telah berpindah dan menyertai kita! Apakah kita sedar akan hadirat-Nya yang menyertai kita? Atau apakah kita langsung tidak menyedari akan ketiadaan hadirat-Nya dalam hidup kita? Apakah kita peduli sama ada hadirat Tuhan ada bersama dengan kita atau tidak? Atau kita hanya hidup mengikut arus masa yang berlalu hari demi hari tanpa kita peduli akan keberadaan atau ketiadaan pernyataan hadirat-Nya dalam hidup kita?
Saya percaya orang yang hidup di dalam pernyataan hadirat Tuhan dalam hidupnya sangat berbeza dengan hidup orang yang tidak mengenal Tuhan. Saya berdoa kiranya kita semua menghargai apa yang telah Yesus lakukan di atas kayu salib dan mempunyai kesedaran nyata terhadap keberadaan hadirat kudus Tuhan dalam hidup kita. Yesus berkata, “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya.” (Yoh 14:23). Saya berdoa semoga hidup kita sentiasa disertai dengan pernyataan kehadiran hadirat kudus Tuhan yang luarbiasa, datang dan tinggal bersama dengan kita. Amen.
Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.
Amen!
Sue
Comments