Tema: Memahami Masa (Roma 13:11)
“Hari sudah jauh malam, telah hampir siang. Sebab itu marilah kita menanggalkan perbuatan-perbuatan kegelapan dan mengenakan perlengkapan senjata terang! Marilah kita hidup dengan sopan, seperti pada siang hari, jangan dalam pesta pora dan kemabukan, jangan dalam percabulan dan hawa nafsu, jangan dalam perselisihan dan iri hati. Tetapi kenakanlah Tuhan Yesus Kristus sebagai perlengkapan senjata terang dan janganlah merawat tubuhmu untuk memuaskan keinginannya.” (Roma 13:12-14)
Saya pernah mendengar sebuah cerita tentang seorang pemuda yang bekerja di sebuah syarikat pembalakan. Sebelum bertolak ke tempat kerjanya, dia meminta pastor untuk mendoakannya agar imannya teguh. Beberapa bulan kemudian, pemuda itu datang ke gereja dan pastor bertanya khabarnya. Pemuda itu berkata, “Puji Tuhan, Pastor, tiada siapa yang tahu saya orang percaya kerana saya mengikuti apa yang dilakukan orang. Saya mabuk dan merokok seperti yang dilakukan orang lain”. Pastor berasa sedih dan tahu bahawa dia mempunyai banyak kerja untuk memuridkan pemuda itu.
Setelah kita memahami masa, bagaimanakah seharusnya kita menjalani hidup kita? Dalam Roma 13:12-14, Paulus mendesak orang percaya untuk mengetepikan perbuatan kegelapan dan mengenakan perlengkapan senjata terang. (Roma 13:13). Kita perlu terjaga dan berwaspada, bersikap selaku orang yang telah melihat terang Injil (2 Korintus 4). Kita harus memahami masa dan berjalan dalam terang sebagai umat Tuhan.
Langkah pertama menuju pemulihan, pembaharuan, dan kebangkitan bermula dari dalam diri kita sendiri. Kita harus secara peribadi rasa beratnya dosa yang telah kita lakukan dan betulkan hubungan dengan Tuhan. Kita seharusnya tidak lagi memikirkan bagaimana memuaskan keinginan sifat yang berdosa kita, melainkan mengenakan pada diri kita Tuhan Yesus Kristus (Roma 13:14). Ketika orang yang belum percaya melihat perbuatan baik kita, mereka akan memuji Bapa kita di syurga (Matius 5:16). Kehidupan kita yang telah berubah adalah kesaksian yang kuat untuk orang yang belum percaya.
DOA HARI INI:
Bapa yang pengasih, saya mohon pengampunan atas dosa yang telah saya lakukan terhadap Engkau. Saya tidak dapat berubah dengan kekuatan diri sendiri, tetapi Engkau dapat menolong saya mengatasi kelemahan saya. Buka mata rohani saya untuk memahami identiti baharu saya dalam Kristus dan mengikut Engkau dengan sepenuh hati. Dalam nama Yesus. Amin!
Berdoalah agar setiap gereja di Malaysia menjadikan pendidikan Kristian sebagai keutamaan semasa mereka memikul peranan mereka untuk menjadikan semua bangsa murid. Berdoalah agar kandungan pendidikan mereka menjadikan Kristus sebagai pusat mereka, Alkitab dasar mereka, dan memuridkan anggota mereka sebagai prioriti.
Pekerja asing membentuk kira-kira 15% daripada tenaga buruh kita. Pada Disember 2020, statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 91% atau 1.4 juta penginapan mereka tidak mematuhi peruntukan dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja, 1990. Berdoalah agar kerajaan berusaha memastikan layanan yang berperikemanusiaan terhadap pekerja asing, dan industri akan menyediakan perumahan yang sesuai.
Comments