top of page

Hari 13: Menangkap Degupan Hati Tuhan

Tema: Memahami Masa (Roma 13:11)


“Sebab Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan yang hilang.” (Lukas 19:10)


Apabila kita memahami masa, kita akan menangkap degupan hati Tuhan untuk dunia. Dapatkah kita mendengar degupan hati Tuhan? Tragedi terbesar di gereja kita hari ini adalah kita begitu dekat dengan hati Tuhan dalam penyembahan namun gagal mendengar degupan hati-Nya. Apakah itu degupan hati Tuhan? Degupan hati Tuhan ada di Lukas 19:10 yang berbunyi, “Sebab Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan yang hilang.”


Apakah satu perkara yang tidak berlaku di syurga? Semua orang tahu jawapannya adalah penginjilan. Gereja abad ke-21 kita menghabiskan jutaan wang ringgit untuk muzik, suasana, dan hal-hal sementara yang lain, dan perkara-perkara yang menentukan kekekalan tidak terlalu diutamakan. Kenyataannya ialah 2.2 bilion orang belum pernah mendengar Injil Yesus, dan 41,000 orang meninggal dunia setiap hari. Inilah kemiskinan Injil – mereka sedang kehilangan Injil.


(Lukas 15:7) “Aku berkata kepadamu: Demikian juga akan ada sukacita di syurga kerana satu orang berdosa yang bertobat, lebih dari pada sukacita karena sembilan puluh sembilan orang benar yang tidak memerlukan pertobatan.”


Seluruh syurga bersukacita ketika satu orang berdosa beralih dari Kerajaan kegelapan ke Kerajaan Terang. Mari berdoa agar gereja di Malaysia menangkap degupan hati Bapa Syurgawi kita untuk jiwa-jiwa yang hilang. Kita dipanggil untuk menjadi saksi bagi nama-Nya (Kisah Para Rasul 1:8).

DOA HARI INI:

  • Bapa yang penyayang, terima kasih atas anugerah hidup kekal yang kami miliki melalui Anak-Mu Yesus Kristus. Tolong kami untuk menangkap degupan hati Tuhan dan melihat melampaui empat dinding gereja. Tuhan, nyalakan api penginjilan dalam diri kami. Dalam nama Yesus yang Maha Kuasa. Amin!

  • Berdoalah agar semangat dan penggerak di sebalik sekolah misi akan terus memberi impak kepada 462 sekolah sedia ada, 227 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia dan 235 di Sabah & Sarawak. Walaupun sebahagian besar daripada mereka dibiayai oleh kerajaan, berdoalah agar mereka mempunyai dana yang mencukupi untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara melalui pendidikan.

  • Berdoalah untuk belas kasihan, kasih karunia dan pembebasan Tuhan untuk 182,780 pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) Malaysia pada tahun 2022. 85% daripada pelarian ini adalah dari Myanmar, kira-kira 50% daripada mereka tidak berdokumen. Sebahagian besar, atau 92% tidak menerima bantuan dalam apa pun bentuk semasa pandemik itu. Tambahan pula, mereka hidup dalam ketakutan yang berterusan akan penangkapan, penahanan, pemerasan, dan hukuman fizikal, dan menghadapi akses terhad untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.



Comentarios


bottom of page