Tema: Memahami Masa (Roma 13:11)
Jangan bodoh, tetapi selidikilah apa yang dikehendaki Tuhan. (Efesus 5:15-17)
Perkara terpenting dalam hidup ini ialah ‘mengerti kehendak Tuhan’. Mengerti tujuan seseorang diciptakan didunia adalah hakikat hidup sebenarnya, sebaliknya hidup diluar rancangan Tuhan adalah ‘kebodohan’ dan kesia-siaan.
Pertanyaan sekarang ialah, bagaimanakah saya boleh mengerti kehendak Tuhan dalam hidup saya?
Memahami dan mengenal-pasti kehendak Tuhan pada zaman durjana ini adalah amat sukar. Misi utama Iblis adalah memesongkan dan mengaburi tujuan dan rancangan Allah bagi seseorang.
Allah berkata kepada Adam dan Hawa, “pada hari engkau memakan buah dari pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.” (Kejadian 2:17).
Perhatikan apa yang Iblis katakan kepada Hawa, “Kamu pasti tidak akan mati“ (Kejadian 3:4). Allah katakan ‘mati’, tetapi setan katakan ‘tidak mati’.
Kehendak Allah ialah ‘jangan makan buah dari pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat’ tetapi setan (si durjana) katakan ‘makan’ supaya menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.
Pertanyaannya, bagaimanakah saya boleh tahu rancangan Allah? Jawapannya ialah Alkitab sudah diberikan kepada kita sebagai manual kehidupan. Di dalamnya kita akan menemukan segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup dalam rancangan Tuhan.
DOA HARI INI:
Bapa, berikanlah kami kemampuan menangkap serta mengerti rancangan-Mu dalam kehidupan kami sehari- hari. Berikan kami kepekaan mendengar suara-Mu melalui Alkitab dan Roh Kudus agar kami tidak mengarahkan telinga kami kepada suara-suara yang lain. Dalam nama Tuhan Yesus, amin.
Berdoalah agar terdapat usaha sinergi yang lebih besar di kalangan pekerja pelayanan belia di gereja atau organisasi Kristian supaya strategi konkrit dapat diperoleh untuk membentuk pemimpin belia dengan lebih berkesan dan impak yang lebih besar. Berdoalah agar belia akan memiliki beban untuk berkongsi kesaksian mereka dengan rakan-rakan.
Baik masa pandemik maupun masa endemik telah mengajar kita banyak pelajaran berharga sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara. Berdoalah agar kita terus mempertahankan, dan tidak mengabaikan, apa yang telah kita pelajari, seperti penjagaan diri yang betul, kesedaran kesihatan, dan nilai kekeluargaan walaupun kita telah keluar dari situasi yang sukar.
Comments