Yohanes 19:17 (AVB) Yesus pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.
Lukas 23:26-31 (AVB) 26 Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya.
27 Ramai orang mengikut Yesus; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya. 28 Yesus berpaling kepada mereka lalu berkata, "Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri. 29 Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, 'Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!' 30 Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, 'Timpalah kami!' dan kepada bukit-bukit, 'Timbuslah kami!' 31 Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?"
YESUS MEMIKUL SALIB Apabila Yesus memikul salib-Nya, Dia memikul lebih daripada kayu. Tanpa diketahui ramai penonton pada hari itu, Yesus telah memikul dosa manusia di atas bahuNya. Yesus ada mengatakan di dalam
Matius 16:24 (AVB) Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku.
Jadi, Yesus mengingatkan kita bahawa jikalau kita mahu menjadi pengikut Yesus, kita harus menyangkal diri kita dan memikul salib dan mengikut Yesus. Menyangkal diri di sini bermakna melupakan kepentingan diri sendiri.
Lebih daripada itu, Yesus juga menyatakan di dalam Matius 10:38
Matius 10:38 (AVB) Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku.
Memikul salib bermakna, kita mati untuk diri kita dan hidup sebagai ciptaan baru (2 Kor 5:17) di dalam ketaatan dan pelayanan kita. Ini bermakna kita menyerahkan kepada Tuhan
Kehendak kita
Kasih sayang kita
Cita-cita kita
Keinginan kita
Yesus adalah pertama dan utama di dalam hidup kita.
SIMON DARI KIRENE MEMIKUL SALIB
Simon yang berasal dari Kirene mungking dianggap sebagai mangsa keadaan. Kemungkinan besar, dia hanya pergi ke Yerusalem untuk merayakan Paskah. Ada kemungkinan besar, dia juga tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dia diarahkan oleh askar-askar dan memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Yesus.
Sebagai orang kristian, kita harus rela menyertai Yesus dalam penderitaanNya. Paulus juga menasihati kita di dalam 2 Tim 1:8
2 Timotius 1:8 (AVB) Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.
YESUS BERTEMU DENGAN WANITA-WANITA YERUSALEM
Ketika Yesus bertemu dengan wanita-wanita yang menangis, dia mengingatkan mereka supaya tidak bimbang tentang diriNya, tetapi haruslah bimbang dengan mereka sendiri dan kehidupan anak-anak mereka kerana kejahatan semakin meningkat di seluruh Yerusalem.
Walaupun Yesus sedang menderita kesakitan yang amat sekali, fokus Yesus bukan untuk diriNya sendiri, tetapi mereka-mereka yang menghadapi bahaya kemurkaan Allah. Bahaya kita ialah kutukan kekal kerana dosa dalam hidup kita.
KESIMPULAN
Memang misteri kasih kurnia Allah mengejutkan kita. Yesus menanggung dosa kita supaya kita boleh diampuni. Dia rela mati untuk kita mengambil tempat kita. 2 Korintus 5:21 (AVB) Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah.
Renungan
Bayangkan situasi di mana kita secara fizikal berada di sana, apabila Yesus memikul salib. Apakah perasaan kita? Apakah respon kita?
Apakah yang boleh kita kaitkan dengan Simon dari Kirene dan wanita-wanita Yerusalem? Apakah respon kita.
Doa
Tuhan, ampuni kami dan sucikan minda dan hati kami. Bantu kami untuk melihat pengorbanan Yesus bukan kerana orang Yahudi, tetapi adalah kerana dosa kami sendiri. Biarlah tangisan kami oleh penderitaan Yesus dan kesedihan kami menjadi sukacita apabila kami mengenali dan memahami keagungan kasih kurnia Tuhan. Di dalam nama Yesus Kristus kami berdoa. Amen.
Elder AWK
コメント