top of page

Hati Misi Suku Terabai


Bacaan Alkitab : Yesaya 49:6b

 

Yesaya 49:6b Tetapi Aku akan membuat engkau menjadi terang bagi bangsa-bangsa supaya keselamatan yang dari pada-Ku sampai ke ujung bumi"

 

Majoriti gereja, sedang bergelut dengan masalah tidak memahami kebenaran Firman Tuhan. Kita percaya bahawa Injil adalah untuk semua orang, tetapi kecenderungan kita adalah kita senang mendengar khutbah yang memberi motivasi diri dan kita telah menjadi sangat selesa dengan keadaan diri sendiri sehingga lupa tanggungjawab kita sebagai orang percaya. Kita suka berkumpul dengan sama suku kita, dengan status yang sama malah memandang sebelah mata orang yang tidak sama lingkungan kita.

 

Isi hati Tuhan untuk gereja-Nya sangat berbeza dengan isi hati beberapa generasi Kristian masa kini. Injil adalah untuk semua orang dan begitu juga hati Tuhan, oleh itu hati kita harus sama seperti hati Tuhan yang rindu semua orang diselamatkan. Isi hati Tuhan ini bergema dalam Alkitab, baik dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Mesej yang sama bergema dalam Amanat Agung yang diberikan oleh Yesus kepada murid-murid-Nya dan kepada kita dalam Matius 28:19, untuk terlibat secara aktif dalam rancangan Tuhan untuk keselamatan dunia.

 

Keinginan Tuhan yang tidak putus-putus ialah agar manusia mengakui Dia dan datang kepada-Nya dengan hati yang ikhlas. Namun dunia hari ini menolak Tuhan dengan sengaja dan tidak mahu mendengar tentang Dia. Maka Tuhan rindu supaya umat-Nya yang telah mengenal Dia, memahami kerinduan hati-Nya di dalam menjangkau orang- orang yang tidak pernah mendengar mesej kasih dan pengampunan supaya jiwa mereka diselamatkan.

 

Sedihnya gereja zaman ini kurang berminat di dalam pengjangkauan kerana lebih banyak, memberi tumpuan kepada dirinya sendiri dan selesa dalam kenikmatan berkat yang dialami. Selain itu gereja juga begitu tengelam di dalam pelayanan lain sehingga penjangkauan jiwa baru iatu Misi dan Penginjilan diberi kurang tumpuan.

 

Menurut https://joshuaproject.net/ masih terdapat 41.9% kumpulan yang belum dijangkau di seluruh dunia, yang tidak pernah mendengar nama Yesus Kristus. Satu peratusan yang sangat besar. Maka penginjilan seharusnya degupan jantung gereja. Ia bukan program pilihan dalam Gereja. Tuhan Yesus memberi banyak penekanan dalam hal ini semasa pelayanan-Nya di dunia ini. Kita perlu mencontohi Yesus dan terlibat secara aktif.

 

Marilah kita mempebaharui hati kita yang mungkin sudah pudar dan membuat komitmen untuk mengambil bahagian dalam menjangkau jiwa-jiwa terhilang sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui sokongan dana, doa, dan penglibatan secara fizikal kita. Janganlah kita mengabaikan lagi mereka kerana mereka perlu diselamatkan.


Bahan Doa

Saya berdoa Penuaian Jiwa Besar terjadi bagi semua suku-bangsa di Malaysia tercinta dan global.

  1. Kebangunan Rohani Global melanda di seluruh dunia iaitu di universiti, tempat-tempat awam, gereja-gereja dan komuniti yang haus dan lapar akan lawatan Tuhan. Tuhan menggunapakai semua orang percaya untuk mengobarkan kasih Tuhan dalam kuatkuasa-Nya yang besar.

  2. Berdoa untuk persatuan di antara warga dan pemimpin bangsa. Kedamaian terjadi di seluruh dunia kerana hubungan yang baik diantara warga dan pemimpin bangsa.

  3. Berdoalah agar keadilan ditegakkan di negara-negara yang mengalami kekacauan dan perpecahan. Berdoa memohon belas kasihan Tuhan untuk campurtangan agar perdamaian memerintah di negara-negara tersebut.



Doa Puasa Kebangsaan 31 Hari, Sidang Injil Borneo (SIB/BEM)

(Sabah, Sarawak, Semenanjung)

Comments


bottom of page