top of page

Hidup Lama Harus Dipisahkan Daripada Hidup Baru


Yesus memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka: “Tiada sesiapa pun yang mengoyak perca kain baru untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika dia berbuat demikian, maka dia akan mengoyakkan pakaian baru itu, dan perca kain baru itu tidak akan sepadan dengan yang lama. ... Lukas 5:36 AVB 

 

Beberapa orang datang kepada Yesus untuk bertanya kepada-Nya  mengapa murid-murid-Nya tidak seperti murid Yohanes dan murid orang Farisi yang sering kali  berpuasa serta berdoa. Akan tetapi, para murid Yesus makan dan minum sahaja. Maka Yesus pun menceritakan dua ibarat untuk menjawab pertanyaan mereka:

 

“ Tiada sesiapa pun yang mengoyak perca kain baru untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika dia berbuat demikian, maka dia akan mengoyakkan pakaian baru itu, dan perca kain baru itu tidak akan sepadan dengan yang lama. Demikian juga tiada siapa menuangkan air anggur baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru itu akan memecahkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat itu pun rosak.  Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru. Dan tiada siapa pun yang telah minum air anggur yang lama gemar minum air anggur yang baru kerana katanya, ‘Yang lama itu lebih baik.’ ” 

 

Apa yang ingin disampaikan Yesus kepada mereka yang bertanya kepada-Nya ialah ibadat yang sejati dalam iman yang baru kepada Tuhan Yesus tidak boleh dicampurkan dengan cara ibadat lama yang sudah tidak tepat lagi. Sebab orang Kristian dipanggil untuk menjalani hidup baru berasaskan iman dan hendaklah meninggalkan segala cara hidup lama yang tidak diperkenan Tuhan.

 

Oleh itu, sekiranya kita menyerahkan hidup kita kepada Tuhan hari ini, maka cara hidup lama haruslah dibuang daripada diri kita. Sebab cahaya dan kegelapan tidak dapat bersama, hidup baru haruslah dipisahkan daripada hidup lama.

 

Marilah kita membuang segala hidup lama dengan menukarkannya dengan hidup baru dalam Yesus Kristus. 

 

Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon kepada-Mu pembaharuan dalam perkataan, pemikiran dan perbuatanku. Ubahlah aku, ya Tuhan, agar aku layak menghadap hadirat-Mu. Ajarlah aku untuk menjalani hidup yang menyenangkan hati-Mu setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page