top of page

Hiduplah Bersama Tuhan




Awal minggu lalu saya dikejutkan dengan berita kematian akibat virus covid-19 yang meragut ahli keluarga saya yang terdekat. Kematian? Apakah erti kematian? Bagi sesetengah orang kematian adalah sesuatu yang mengerikan, kejam dan zalim. Apabila seseorang meninggal dunia, bukan sahaja nyawanya terputus bahkan seluruh usaha, harapan, serta impiannya juga terputus, segala-galanya berhenti.


Tapi bagi umat Tuhan, kematian adalah bukti tanda kuasa dosa. Rasul Paulus mengatakan bahawa upah dosa ialah maut (Rom 6:23). Oleh kerana dosa yang menular dan menyerapi seluruh umat manusia, maka umumnya kita tunduk kepada kematian. Buktinya, tidak ada seorang pun yang hidup di dunia ini untuk selama-lamanya, semuanya pasti akan mengalami kematian.


Alkitab mengambarkan kematian dalam tiga bentuk, iaitu:

  1. Mati secara fizikal, yang ditandai dengan berakhirnya kehidupan.

  2. Mati secara rohani, yang ditandai dengan terputusnya hubungan dengan Tuhan.

  3. Mati kekal, iaitu selama-lamanya dalam api neraka.


Secara fizikal kita tidak mempunyai pilihan, kerana mati adalah buah dosa. Namun secara rohani kita mempunyai pilihan yang boleh kita buat yang juga akan dapat menentukan akhir dari destini hidup kita sama ada mati kekal dalam api neraka atau hidup kekal dalam hadirat Tuhan.


Tuhan Yesus berkata, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.” (Yoh 5:24). Di sini Tuhan Yesus berkata bahawa sesiapa yang mendengar dan percaya akan mendapat hidup yang kekal! Sudahkah kita mendengar kata-kata-Nya dan percaya kepada Dia? Sudahkah kita memperoleh hidup kekal yang dijanjikan oleh Tuhan Yesus ini? Hidup kekal yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus ini bukan bermaksub hidup kekal yang hanya akan bermula selepas kematian jasmani kita, tetapi hidup kekal yang dapat dialami di sini dan sekarang ini juga. Hidup secara rohani. Jadi apakah makna hidup kekal? Tuhan Yesus berkata dalam Yoh 17:3, “Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang kau utus”.


Jadi hidup kekal itu bukan hanya semata-mata sebuah destini sahaja tetapi sebuah proses pengalaman hidup bersama dengan Tuhan di sini dan sekarang ini. Hidup yang mengenal dan mengalami Tuhan yang benar secara peribadi, hidup yang sentiasa bergaul dengan Tuhan, mempunyai hubungan yang intim dengan-Nya dan berjalan bersama dengan-Nya. Hidup yang berpusat kepada Tuhan dalam segala perkara di seluruh aspek kehidupan. Hidup yang mengalir daripada-Nya yang menghidupi hidup kita, dan bukannya kita lagi yang hidup melainkan Dia yang hidup di dalam kita.


Hari-hari ini apakah kita benar-benar ‘hidup’ bersama dengan Tuhan? Apakah kita makin mengenali Dia dan mengalami-Nya secara peribadi dari hari ke sehari? Atau pengenalan serta pengalaman kita akan Tuhan masih sama seperti yang kita kenali-Nya selama 20 tahun yang lalu ataupun beberapa tahun yang lalu. Atau apakah kita hanya mengetahui tentang-Nya hanya melalui kata-kata orang lain tanpa pernah mengenali-Nya dan mengalami-Nya secara peribadi? Alangkah ruginya kalau-kalau kita hanya mengenal-Nya hanya melalui kata-kata atau kesaksian-kesaksian serta pengalaman daripada orang lain. Tuhan mahu kita ‘hidup’ bersama dengan-Nya. Mengenali-Nya serta bergaul dengan-Nya secara peribadi di sini dan sekarang ini juga. Melangkah dalam hidup yang penuh kuasa dan mukjizat-Nya, mengalami hidup yang luarbiasa dan berkemenangan yang tak pernah terlintas oleh fikiran manusiawi kita. Hidup yang sebenarnya! Sebab ‘hidup’ tanpa Tuhan itu sama saja dengan ‘mati’.


Tuhan Yesus pernah memberi amaran kepada Jemaat di Sardis, kata-Nya “Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati…bangunlah…bertaubatlah…” (Wahyu 3:2-3). Hari ini, jika kita tahu kalau hidup kita tidak menghidupi ‘hidup kekal’ bersama dengan Tuhan, marilah kita bertaubat. Marilah kita mulai hidup yang sesungguhnya. Hidup yang bergaul dan berjalan bersama dengan Tuhan, mengenali dan mengalami-Nya dari setiap saat kehidupan kita. Dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Tuhan kerana ini adalah kehendak-Nya dalam hidup kita. Tuhan telah memberikan kita segala sesuatu untuk kita hidup bersama-Nya: Firman-Nya, Roh-Nya bahkan Hadirat-Nya ada bersama dengan kita. Tuhan Yesus berkata, “Barangsiapa menang… Aku tidak akan menghapus namanya dari kitab kehidupan, melainkan Aku akan mengaku namanya di hadapan Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah…” (Wahyu 3:5).


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.


Amen.

Sue

1件のコメント


Ng Kee Chuan
Ng Kee Chuan
2022年4月23日

Musuh maut tidak boleh dan tidak dapat menakutkan kita yang mempunyai kepastian dan tetap berpegang kepada Tuhan Yesus...lebih-lebih lagi mati bagi kita ialah keuntungan bukan kerugian (Filipi 1:21)!

いいね!
bottom of page