Ayat Alkitab Utama: Roma 5:1-2
Sebab itu, kita yang dibenarkan karena iman, kita hidup dalam damai sejahtera dengan Allah oleh karena Tuhan kita, Yesus Kristus. Oleh Dia kita juga beroleh jalan masuk oleh iman kepada kasih karunia ini. Di dalam kasih karunia ini kita berdiri dan kita bermegah dalam pengharapan akan menerima kemuliaan Allah.
Renungan Singkat:
Tahukah anda bahawa Allah tidak mempunyai hubungan lagi dengan kedagingan dan Iblis?
Berkenaan dengan daging, keinginan daging itu berlawanan dengan keinginan Roh dan keinginan Roh berlawanan dengan keinginan daging (Gal 5:17). Demikian juga dengan Iblis, dikatakan bahawa Iblis jatuh seperti kilat dari langit (Luk 10:18), dan setan-setan juga berteriak kerana gementar di hadapan Yesus (Luk 8:28). Maksudnya, tidak ada perdamaian, persekutuan dan hubungan di antara Allah dengan kedua entiti tersebut.
Tetapi kita yang percaya Kristus tidak demikian! Kita adalah orang yang dibenarkan dan hidup dalam damai sejahtera dengan Allah kerana iman kita terhadap Tuhan Yesus Kristus sesuai teks firman di atas! Kita mempunyai hubungan dengan Allah yang membolehkan kita mengalami kasih karunia Allah dan menerima kemuliaan-Nya. Posisi kita pada hari ini adalah kita berdiri dalam kemegahan hubungan yang telah dipulihkan dan posisi ini adalah posisi yang kekal yang tidak lagi dimiliki oleh Iblis dan segala konco-konconya.
Sama seperti Allah tidak lagi mempunyai hubungan dengan kedagingan dan Iblis, demikian juga dengan kita. Sifat kedagingan dan tuduhan-tuduhan daripada kuasa si jahat berusaha untuk menggoda dan mencobai kita seolah-olah hidup kita masih mempunyai hubungan dan bergantung kepadanya. Semuanya itu hanya tipu muslihat kuasa jahat kerana sudah kehilangan hubungan yang berharga dengan Allah dan mau menyeret kita dalam kejatuhan yang sama. Ingatlah bahawa identiti kita sekarang sangat jauh berbeza dari si jahat. Kita adalah orang yang telah dimenangkan melalui Kristus!
Bagaimana pun beratnya pencobaan dan godaan yang datang kepada kita, kita boleh mengingat semula kelebihan yang ada pada kita iaitu hubungan dengan Allah dan menggunakan kelebihan itu untuk menolak segala yang jahat ataupun bangkit daripada hal yang menjatuhkan kita. Kita tidak ada kaitannya dengan dosa dan kejahatan lagi. Bangkitlah dari hal yang mengikat atau menghalang kita dan nikmatilah hubungan dengan Allah!
Pr Roy Dinsim
Comments