![](https://static.wixstatic.com/media/f9523a_ff4f6f35b93a4f249277184180339d0a~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/f9523a_ff4f6f35b93a4f249277184180339d0a~mv2.jpg)
Lalu Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.’’ Lukas 4:3 AVB
Setelah Yesus berpuasa selama 40 hari dan 40 malam, Dia pun berasa lapar dan lemah. Dia sangat memerlukan makanan untuk memulihkan tenaga-Nya. Dalam keadaan yang sangat lapar dan lemah, Iblis datang kepada Yesus dan menyuruh Dia untuk mengubah batu menjadi roti.
Iblis menggunakan roti sebagai muslihat untuk menggoda Yesus, kerana dia tahu bahawa pada saat itu Yesus sangat memerlukan makanan bagi diri-Nya memandangkan Dia telah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam. Maka Iblis menggunakan makanan sebagai sasaran untuk menggoda Yesus. Lalu dia berkata kepada Yesus: "Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti."
Namun begitu, Yesus menolak permintaan Iblis untuk mengubah batu menjadi roti, walaupun secara peribadi Yesus boleh sahaja melakukan hal itu. Sebab Dialah Tuhan Pencipta yang telah menjadikan bumi dan segala isinya daripada tidak ada menjadi ada. Bagaimanapun, Dia menolak untuk bertindak mengikut permintaan Iblis.
Iblis seperti singa yang mengaum-aum dan mencari orang yang dapat dibahamnya. Oleh itu, kita harus berjaga-jaga kerana Iblis merayau-rayau di sekeliling kita dan menunggu peluang untuk menyerang kita. Dia mencari setiap keperluan segera dalam hidup kita sebagai sasaran untuk menggoda kita.
Dengan itu, berjaga-jagalah dengan melengkapkan diri kita dengan kebenaran Firman Tuhan agar kita tidak mudah melakukan dosa.
Doa: Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu demi memohon hikmah dan kekuatan daripada-Mu. Apabila aku menghadapi godaan Iblis yang datang silih berganti, kuasailah hidupku dan bimbinglah aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comentários