top of page

Identiti: Tersembunyi Bersama Dengan Kristus (1)


Kolose 3:3 (TB) Sebab kamu telah mati dan hidupmu tersembunyi bersama dengan Kristus di dalam Allah.


Firman di atas mengatakan bahawa hidup kita (orang percaya) tersembunyi bersama dengan Kristus. Tidak dikatakan bahawa hidup kita tersembunyi bersama dengan dosa, iblis, orang lain mahupun diri kita sendiri. Sekali lagi, kita tersembunyi di dalam Kristus.


Apa maksudnya? Maksudnya identiti kita atau siapa kita hanya ditentukan oleh Kristus yang mengetahui segala sesuatu tentang kita. Ada rahsia tentang diri kita yang kita sendiri tidak tahu, hanya Kristus yang tahu. Siapa anda itu juga adalah rahsia bagi semua entiti lain kecuali Allah yang mengetahui hal yang tersembunyi. Hanya Dia yang Mahatahu.


Tapi saya melakukan dosa? Masa silam saya adalah kesan perbuatan saya sendiri dan mulut orang itu benar kerana kesalahan yang saya lakukan! Kalau begitu, mengapa saya masih lagi rasa tertuduh?


Saudara, jangan terlalu memuji dosa, iblis serta tuduhan-tuduhannya. Janganlah memberi hak dan kuasa kepada dosa, masa silam, kata-kata orang, pandangan anda sendiri serta tuduhan iblis dalam hal menentukan siapa anda. Ya betul, sesekali kita boleh berdosa, termakan dengan tipu muslihat iblis, termakan kata orang dan menerima tuduhan iblis kerana kelihatan sangat meyakinkan. Namun, jangan tertipu lagi! Tidak ada satupun dari semua itu yang mempunyai kata muktamad tentang hidup kita. Hanya Kristus.


Ketika kita mengetahui kebenaran sejati bahawa Kristuslah yang paling mengenal kita kerana hidup kita tersembunyi (reserved) di dalam Dia, mengapa kita izinkan entiti asing untuk menentukan dan memegang kendali hidup kita? Berhentilah mengizinkan cengkeraman kuasa asing dalam hidup anda dan mulailah melihat kemenangan hidup yang tersembunyi di dalam Kristus!


Pr Roy Dinsim


Comments


bottom of page