top of page

It Is OK Not To Be OK


Pernahkah anda mendengar atau membaca frasa ini yang mengatakan, “it’s ok not to be ok” [Tidak mengapa kalau tidak ok]. Frasa ini digunakan agak popular dalam dunia kaunseling dan psikologi terutamanya untuk memberi motivasi-motivasi dan simpati kepada mereka yang merasa dirinya tidak ok, lemah, kekurangan dan terbatas dalam perkara-perkara yang menyebabkan mereka merasa tidak ok. Frasa ini nampaknya melegakan para pendengarnya, seolah-olah ia dapat membebaskan mereka daripada keadaan atau perasaan yang tidak ok itu. Tetapi benarkah demikian? Saya berpendapat sebaliknya. Bagi saya it is NOT ok to be NOT ok! [tidak ok menjadi tidak ok] Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan saya ataupun menganggap saya berfikiran extreme. Tetapi bukankah tidak ok kalau tidak ok? Tidak ok, maksudnya adalah tidak ok la kan? Kenapa pula tidak ok boleh menjadi ok? Bagi saya, tidak ok itu tidak sama maksub dengan berserah kepada Tuhan. Saya berfikir bahawa frasa “it’s ok not to be ok” adalah janji palsu yang memberikan harapan dan pembebasan palsu yang datang daripada tipu daya si iblis! Sayangnya ramai anak-anak Tuhan yang termakan tipu daya ini, membuatkan mereka tidak dapat mengalami kuasa pembebasan dan kemenangan sejati dalam Tuhan.


Kenapa saya berpendapat sedemikian? Kerana apabila saya mengerti tujuan asal dan rencana Tuhan yang mencipta manusia dengan sempurna, apalagi manusia adalah mahkota ciptaan-Nya, sempurna dalam kasih dan karunia-Nya! Dicipta serupa menurut gambaran-Nya, dengan tujuan untuk bersekutu dengan-Nya dan menjadi partner-Nya untuk memerintah dan menguasai bumi ini (Kej 1:26-27). Anda fikir kalau kita tidak ok, Tuhan akan ok dengan situasi kita dan akan mengatakan ‘tidak apalah kalau kamu tidak ok’..saya tidak fikir begitu..Tuhan pasti tidak ok dengan kita kalau kita tidak ok! Dia pasti akan melakukan sesuatu untuk menjadikan kita ok kembali seperti apa yang telah dia tetapkan sejak dari awalnya lagi sesuai dengan tujuan dan rencana-Nya dalam hidup kita.


Sebagai contoh, apabila Adam dan Hawa termakan pujukan si iblis dan jatuh ke dalam dosa, mereka menyedari bahawa mereka telanjang. Mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Mereka merasa malu dengan ketelanjangan mereka dan hal itu tidak ok bagi mereka. Lalu mereka membuat cawat daun untuk menutup aurat mereka. Apabila mereka mendengar suara Tuhan, mereka merasa takut lalu bersembunyi. Adakah Tuhan mengatakan, ‘oh it’s ok not to be ok..I understand because you are just human and not perfect’. Jawapannya adalah TIDAK!...Apa yang Tuhan lakukan adalah Dia memakaikan Adam dan Hawa dengan pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang dikorbankan dan menyediakan jalan penyelesaian untuk seluruh umat manusia dengan menyediakan kasih karunia-Nya yang sempurna melalui pengorbanan kematian Yesus Kristus dan kebangkitan-Nya, supaya mereka yang percaya dapat kembali kepada posisi mereka yang asal sebagaimana yang telah ditetapkan sejak dari awal lagi.


Kalau kita tidak ok, maka saya rasa Tuhan juga akan merasa tidak ok melihat kita yang tidak ok. Dia tidak mahu melihat kita tertekan, stress, kepahitan dan sebagainya, kerana itu semua tidak mencerminkan kemuliaan dan keserupaan-Nya dalam diri kita. Dia pastinya mahu membebaskan kita. Kenapa? Kerana Tuhan kita adalah Bapa yang baik. Dan Dia mahu kita berada dalam keadaan yang terbaik supaya dapat memuliakan nama-Nya. Tidak ok tidak memuliakan Tuhan!


Jadi apabila ada orang yang mengatakan, ‘Oh tidak mengapa jika kita tidak ok, sebab itu yang menjadikan kita manusia, kita ini lemah dan terbatas. Kita bukan Tuhan, dan kerana itu kita memerlukan Tuhan.’ Berhenti sekejap, mari kita renungkan sekali lagi, kali ini dari sudut perspektif kacamata Bapa yang di Syurga. Tuhan tidak menjadikan kita lemah mahupun rentan. Dia yang mencipta kita dengan sempurna serupa menurut gambaran-Nya, memberikan segala potensi Ilahi di dalam kita, menyatukan kita dengan Anak-Nya (Rom 6:5), memberikan kita kepenuhan kuasa Ilahi, kepenuhan Kristus dan kepenuhan Roh Kudus di dalam kita supaya kita hidup dalam kelimpahan-Nya. Jadi kalau kita merasa tidak ok, mari kita periksa hati kita, di manakah kita? Sebab dipihak Tuhan Dia telah melakukan segala-galanya untuk membuatkan kita ok, penuh dengan kasih, damai dan sukacita di dalam-Nya. Apakah kita bersama dan menyatu dengan Tuhan atau di luar Tuhan? Kerana Di luar Tuhan, kita sememangnya tidak OK!


“Kerana seluruh kepenuhan Allah berkenan diam di dalam Dia…Sebab dalam Dialah berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan, dan kamu telah dipenuhi di dalam Dia (Kol 1:19; 2:9).

“Aku datang supaya mereka mempunyai hidup, dan mempunyainya dalam segala berkelimpahan” (Yoh 10:10b).


Tuhan Memberkati,

Sue

1 Comment


AWK
AWK
Jun 25, 2022

Amen. Tuhan memberkati.

Like
bottom of page