top of page

Jangan Menjadi Seperti Dunia


Suatu hari saya keluar bersama dengan jiran baru saya. Jiran saya ini seorang yang sangat ceria, mesra dan tidak henti-hentinya menceritakan kisah-kisah menariknya kepada saya sambil memuji Tuhan. Katanya hanya kerana kebaikan Tuhanlah dia dapat hidup sehingga ke hari ini dan dapat menikmati segala kebaikan dan kemurahan hati Tuhan di dalam hidupnya. Di akhir perbualan kami tiba-tiba dia meminta saya untuk memberikannya nombor plat kereta saya. Saya sedikit kaget dan bertanya kenapa dia memerlukan nombor plat kereta saya. Jawapannya membuatkan saya terkejut. Katanya dia mahu membeli nombor ekor! Saya berkata itu adalah judi, sesuatu yang dilarang dan sangat tidak berkenan di hati Tuhan!


Ramai orang mengaku dan menganggap diri mereka adalah anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Memang benar Tuhan begitu mengasihi kita. Kasih-Nya kekal dan tidak pernah berubah. Tuhan tidak pernah berkompromi dalam mengasihi kita. Di pihaknya Tuhan, itu adalah satu kepastian. Namun pernahkah kita terfikir bagaimana pula dipihak kita? Apakah kita benar-benar anak Tuhan? Jikalau kita adalah anak Tuhan, apakah gaya hidup kita mencerminkan kemuliaan dan kekudusan Tuhan? Apakah keperibadian kita makin hari makin menyerupai keperibadian Yesus Kristus? Apakah kelakuan kita selari dengan ciri-ciri seorang anak Tuhan yang dinyatakan di dalam Firman Tuhan? Apakah keinginan-keinginan kita kudus dan murni di hadapan Tuhan? Atau kita hanya menganggap diri kita sebagai anak Tuhan namun sebenarnya tidak, hidup berkompromi dengan perkara-perkara yang jelas menjadi kebiasaan amalan dunia ini? Hidup yang mengejar “keinginan daging dan keinginan mata serta keangkuhan hidup yang sememangnya bukan berasal daripada Bapa, melainkan dari dunia.


Rasul Paulus berkata di dalam Roma 12:2, “Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu, sehingga kamu dapat membezakan manakah kehendak Allah: apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna.” Dahulunya kita adalah orang yang berdosa dan seharusnya menjadi orang yang dimurkai oleh Tuhan, namun oleh kerana kasih karunia-Nya yang sangat besar kita ditebus dan diselamatkan daripada kuasa dosa, dikuduskan dan dimurnikan serta diangkat menjadi anak-anak Tuhan. Betapa berbahagianya kita kerana dipilih untuk menjadi anak-anak Tuhan! Oleh itu janganlah kita berbalik semula dan menjadi sama seperti dunia ini lagi kerana kita sudah tidak mempunyai bahagian apa-apa pun dalam dunia ini. Kita telah mati! Hidup yang kita jalani sekarang ini bukan lagi milik kita tetapi milik Kristus. Maka hiduplah sesuai dengan kehendak Kristus. Janganlah menduakan hati kita dengan perkara-perkara yang sementara dan yang pastinya akan hancur lenyap.


Tuhan Yesus dengan tegas mengatakan dalam Matius 7:21-23 “Tidak semua orang yang memanggilku, ‘Tuhan, Tuhan,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.” Semua orang boleh memanggil Tuhan Yesus, Tuhan, Tuhan dalam hidup mereka, bahkan melayani-Nya! Namun apa yang membezakan antara pengikut yang sejati dan yang palsu adalah apakah ia melakukan serta melaksanakan kehendak Bapa atau tidak. Itulah yang membezakannya. Yohanes 14:15 Yesus berkata “Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” Marilah kita perhatikan hidup kita baik-baik, apakah kita melakukan kehendak Bapa syurgawi kita? Apakah kita melaksanakan perintah-perintah-Nya dalam kehidupan kita ini? Perhatikanlah supaya apa yang kita jalani dalam kehidupan kita di dunia ini tidak sia-sia dan apabila tiba waktunya untuk kita menghadap yang Maha Kudus, kita tidak akan menyesal kerugian tetapi bersukacita dalam menerima mahkota kehidupan yang telah dijanjikan-Nya kepada kita. Sematkanlah kata-kata Yesus di dalam Matius 7:21-23 ini di dalam hati kita baik-baik sebagai peringatan supaya kita senantiasa sedar tentang siapa sebenarnya diri kita. Sebab nanti akan ada hari pemisahan di mana Tuhan akan memisahkan anak-anakNya daripada anak-anak yang mengikuti kehendak dunia. Di saat itu sudah tentunya kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang akan dipisahkan dan dibuang ke dalam kematian kekal.


Bapa syurgawi, selidikilah hati kami saat ini, sekiranya ada dosa-dosa yang tersembunyi mahupun sesuatu yang tidak berkenan di hadapan-Mu, kami mohon pengampunanMu. Ampunilah kami Tuhan, kuduskan kami dan murnikan kami sekali lagi dengan darah Yesus Kristus. Berikanlah kami hati yang baru, perbaharuilah fikiran kami. Tuhan Roh Kudus, pimpinlah kami dan ajarilah kami agar kami dapat hidup sesuai dengan panggilan yang telah kami terima, hidup yang mencerminkan kemuliaan dan kekudusan-Mu serta semakin hari semakin menjadi serupa seperti Yesus dan bukannya serupa dunia ini. Berikan kami kekuatan dan keberanian untuk terus menghidupi firman-Mu dalam hidup kami. Di dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin.


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.


Amen.

Sue

1 Comment


Ng Kee Chuan
Ng Kee Chuan
Apr 23, 2022

Semakin kita mendekati dunia, semakin jauh kita bergerak daripada Allah.

Like
bottom of page