1 Samuel 1:13-18 (BM)
Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli. Kemudian Eli berkata kepadanya, "Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!" Hana menjawab, "Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih." Kemudian Eli berkata, "Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu."
"Semoga saya mendapat restu tuan," kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi.
Pengajaran/Refleksi
Jangan tersalah sangka terhadap sesuatu yang orang lain lakukan jika tidak ada buktinya. Jangan menganggap seseorang itu hina. Jangan seperti Eli yang menyangka Hana mabuk semasa dia berdoa, kerana dia berdoa dengan senyap (hanya bibirnya yang bergerak).
Eli bukan hanya menyangka Hana mabuk tetapi berkata kepadanya, "Jangan mabuk di rumah TUHAN! Jangan minum wain lagi!" Hana menjelaskan bahawa dia tidak mabuk, tetapi sedang berdoa kerana putus asa, sangat sedih, dan meluahkan isi hatinya kepada TUHAN. Setelah berdoa, Hana tidak berasa sedih lagi.
Jangan membuat tuduhan sebarangan atau menganggap sesuatu yang bukan-bukan terhadap orang lain jika tidak ada buktinya. Perkara kedua yang kita pelajari di sini adalah, mari kita datang kepada TUHAN dalam segala masalah kita. TUHAN pasti memberi kelegaan, pemulihan, dan kemenangan.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Mereka yang sakit Engkau sembuhkan, yang lemah dikuatkan, dan yang ada masalah dibebaskan dalam nama Yesus Kristus! Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments