
Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Lukas 6:7 AVB
Sewaktu pelayanan Tuhan Yesus di bumi, terdapat tiga golongan orang yang sentiasa mengikuti -Nya. Golongan pertama betul-betul percaya kepada-Nya, golongan kedua mahu melihat tanda-tanda ajaib dan mukjizat sahaja, dan golongan ketiga mahu mencari alasan untuk menuduh Tuhan Yesus.
Pada suatu hari Sabat beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi mengikuti Yesus kerana mereka ingin mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap-Nya. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus baik-baik sama ada Yesus akan menyembuhkan orang pada hari Sabat. Yesus mengetahui apa yang sedang difikirkan mereka tentang diri-Nya. Yesus tidak takut untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat, kerana hal yang sangat penting bagi Yesus ialah penyelamatan nyawa manusia.
Dengan itu, Yesus tidak peduli dengan apa yang sedang dirancangkan atau dilakukan mereka terhadap diri-Nya, tetapi Yesus terus menyembuhkan orang yang lumpuh tangan sebelah. Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah dan berdiri di sini. ” Lalu orang itu pun bangun dan berdiri di situ.
Setelah Yesus menyembuhkan orang yang lumpuh tangan kanannya, Dia berkata kepada mereka yang ada di situ, “Aku bertanya kepadamu, manakah yang wajar dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan atau membinasakan nyawa?”
Apakah yang lebih penting dalam hidup kita hari ini, berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan nyawa atau membinasakannya. Oleh itu, jangan takut dengan kata-kata orang atau rancangan mereka, kerana apa yang lebih penting ialah kita berbuat baik kepada orang yang menghadapi keperluan selama kita hidup.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon kepada-Mu untuk mengajar aku sentiasa berbuat baik kepada semua orang tanpa berasa takut. Pakailah aku untuk melakukan pekerjaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments