Teks
Hakim-Hakim 20:38-42 (BM)
Induk tentera telah bermuafakat dengan pasukan yang bersembunyi, bahawa apabila mereka nampak asap yang tebal naik dari kota itu, induk tentera harus berbalik dan menyerang musuh. Pada saat itu tentera Benyamin telah membunuh 30 orang askar Israel. Mereka berfikir, "Kami telah mengalahkan mereka seperti yang sudah-sudah." Tetapi tiba-tiba asap yang tebal mengepul naik dari tengah-tengah kota itu. Orang Benyamin terperanjat apabila mereka menoleh ke belakang dan nampak seluruh kota mereka terbakar.
Ketika itu juga tentera Israel balik menyerang mereka, lalu keadaan tentera Benyamin menjadi kacau-bilau. Mereka sedar bahawa mereka akan kalah. Mereka mengundurkan diri daripada tentera Israel lalu lari ke arah padang gurun tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri. Mereka dikepung oleh induk tentera Israel dan pasukan askar yang pada saat itu sedang keluar dari kota. Orang Benyamin menderita kekalahan yang amat teruk.
Pengajaran/Refleksi
Kadang-kadang kita terlalu berharap bahawa kita telah menang atas sesuatu, tetapi akhirnya kita dikalahkan kerana kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga dalam kehidupan ini. Hal ini mengajar kita supaya kita sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga, iaitu sentiasa berharap kepada Tuhan untuk melindungi dan memelihara kita setiap saat daripada segala musuh-musuh dan kuasa kegelapan yang cuba mengalahkan kita.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami, supaya Engkau melindungi kami sentiasa daripada segala kuasa jahat yang cuba mengalahkan kami. Dengarkan seruan kami ya TUHAN untuk kemuliaan bagi nama-Mu. Haleluyah dan Amin.
Rev. Ali Langgit
Comments