top of page

Janganlah Mengasihi Dunia Ini


“Dunia dan segala hawa nafsu yang ada di dalamnya sedang lenyap, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan kekal selama-lamanya.” – 1 Yohanes 2:17 AVB


Dunia yang dimaksudkan oleh Yohanes di sini tidak merujuk kepada bumi yang kita diami atau manusia yang tinggal di bumi ini. Sebaliknya, Yohanes merujuk kepada semua perkara yang menentang perintah Tuhan.


Oleh itu, Yohanes memperingatkan setiap orang yang percaya kepada Tuhan Yesus supaya tidak mengasihi dunia ini, kerana dunia yang dikasihi oleh manusia pasti akan lenyap pada waktunya bersama segala yang jahat dan terlarang. Inilah sebabnya Yohanes menegah setiap orang percaya daripada mengasihi dunia ini.


Namun demikian, mereka harus tetap melakukan kehendak Tuhan selagi mereka masih hidup di dunia ini. Sebab apabila waktunya tiba, mereka tidak akan dibinasakan bersama segala yang jahat di dunia ini; tetapi mereka yang tetap melakukan kehendak Tuhan akan menerima hidup kekal.


Dengan itu, memanglah bodoh jika kita terus mengasihi dunia ini kerana dunia ini akan lenyap pada suatu hari nanti. Sesungguhnya, kita harus mengasihi Tuhan Allah kita dengan sepenuh hati. Janganlah kita mengundurkan diri, walaupun sering melalui pelbagai keadaan yang sangat menyulitkan hidup kita, tetapi hendaklah tetap setia kepada Tuhan sepanjang hayat kita .


Doa: Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan dan kasih kurnia-Mu terhadap hidupku. Ajarlah aku untuk mengasihi-Mu lebih daripada segala-galanya di dunia ini. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page