Yesus dilahirkan di Betlehem, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya. (Matius 2:1-2 AVB)
Apabila beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur melihat bintang muncul di Timur, mereka pun datang ke Yerusalem. Sebab mereka tahu bahawa seorang bayi yang baru lahir akan menjadi Raja orang Yahudi. Oleh itu, mereka datang ke Yerusalem dengan tujuan untuk menyembah-Nya.
Siapakah ahli ilmu bintang dari Timur?Ahli ilmu bintang dari Timur dipanggil orang Majus. Dalam bahasa Yunani mereka disebut Magos, sementara dalam bahasa Inggeris disebut Magi yang bermaksud ahli dalam ilmu bintang dan mahir untuk mentafsirkan mimpi. Mereka merupakan sejarawan dari Yunani Kuno dan berasal daripada Suku Madai di wilayah tanah jajahan Parsi.
Ahli ilmu bintang dari Timur ini datang ke Yerusalem untuk mencari dan menyembah Anak yang baru dilahirkan. Mereka membawa hadiah yang sangat berharga untuk dipersembahkan kepada Anak itu kerana mereka telah melihat bintang yang muncul di Timur.
Persoalannya bagi kita, adakah orang di sekeliling kita dapat melihat tanda kelahiran Yesus dalam hidup kita pada hari ini sehingga mereka terdorong untuk datang ke gereja untuk menyembah Dia? Siapakah yang dilihat orang dalam hidup kita atau di gereja kita pada hari ini? Apakah Yesus atau hal-hal yang lain?
Marilah kita selidiki diri kita. Biarlah kelahiran Yesus kelihatan dalam hidup kita hari ini.
Doa:Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan diriku kepada-Mu. Pakailah hidupku demi kemuliaan-Mu, agar orang lain dapat melihat Engkau dan datang kepada-Mu kerana mereka melihat hadirat-Mu dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments