top of page

Kasih Bermula Daripada Tuhan

 



“Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita.” 1 Yohanes 4:19 AVB

 

Kita mengasihi sesama manusia yang ada di sekeliling kita kerana Tuhan Yesuslah yang pertama-tama mengasihi kita. Oleh sebab kasih Tuhan ada pada kita, maka kita dapat mengasihi orang yang ada di sekeliling kita. Kasih itu bermula daripada Tuhan; justeru kita harus mengasihi sesama manusia kerana Tuhan mengasihi kita terlebih dahulu.

 

Kasih yang bermula daripada Tuhan Yesus akan menyebabkan diri kita tetap konsisten dalam kasih kita kepada orang lain. Walaupun kita menempuh berbagai-bagai cabaran dan rintangan dalam hidup ini, kasih kita kepada orang lain tidak akan tergugat. Sebab kita telah mengalami kasih Tuhan Yesus terlebih dahulu.

 

Pengalaman kita secara peribadi akan kasih Tuhan Yesus semasa senang ataupun susah menjadikan kita terus bertahan dalam hidup ini. Dasar setiap perkara yang kita lakukan, fikirkan, dan katakan ialah kasih kepada Tuhan Yesus.

 

Apabila kasih itu bermula daripada Tuhan, maka segala yang kita lakukan, fikirkan, dan katakan bertujuan untuk memuliakan nama Tuhan. Mengalami kasih Tuhan secara peribadi dalam hidup ini akan membuat kita tetap mengasihi sesama manusia dan memperoleh kekuatan untuk terus melayani serta bertahan dalam segala keadaan.

 

Marilah kita tetap bersemangat dan tabah melakukan segala kebaikan dalam hidup ini kerana Yesus mengasihi kita terlebih dahulu. Oleh itu, kasihilah satu sama lain seperti Yesus mengasihi kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk mengucapkan terima kasih atas kasih dan anugerah-Mu yang sangat besar dalam hidup ini. Ajarlah aku untuk terus mengasihi-Mu, ya Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page