“Demikianlah kasih: bukannya kita mengasihi Allah tetapi Allah mengasihi kita lalu menghantar Anak-Nya sebagai korban pendamaian bagi dosa kita.” 1 Yohanes 4:10 AVB
Kasih datang daripada Tuhan kerana Dialah sumber kasih . Kasih Tuhan dinyatakan melalui pengorbanan-Nya. Dia mengutus Anak-Nya, Yesus Kristus, untuk menjadi korban pendamaian bagi dosa kita di kayu salib, agar kita dapat didamaikan dengan diri-Nya.
Tuhan Yesus menunjukkan kasih yang sempurna dan tanpa syarat. Oleh itu, kita harus meneladani kasih ini dengan mengasihi orang lain sebagaimana Tuhan telah mengasihi kita. Kasih Tuhan bukan di mulut sahaja tetapi juga dibuktikan melalui tindakan yang nyata.
Sebagai orang percaya, kasih kita kepada sesama haruslah menyerupai kasih Tuhan—kasih yang tidak mementingkan diri sendiri dan rela berkorban. Kasihilah sesama tanpa syarat, tanpa memilih-milih, dan buktikan kasih itu melalui tindakan nyata yang membawa berkat kepada orang lain.
Kasih merupakan inti hidup orang Kristian, dan kita dipanggil untuk memperlihatkan kasih itu kepada dunia, sama seperti Tuhan memperlihatkan kasih-Nya kepada kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi memohon bimbingan-Mu. Ajarlah aku untuk mengasihi semua orang tanpa memilih-milih, seperti Engkau telah mengasihiku. Pakailah aku sebagai alat-Mu untuk berkongsi kasih dan berkat kepada orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
コメント