![](https://static.wixstatic.com/media/f9523a_c7a5e797eeec404a8cb78b9b31a1fe79~mv2.png/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/f9523a_c7a5e797eeec404a8cb78b9b31a1fe79~mv2.png)
“Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya,” 1 Yohanes 5:3 AVB
Mengasihi Tuhan bererti seseorang itu harus sungguh-sungguh melakukan apa yang diperintahkan oleh Tuhan Yesus kepada dirinya. Mentaati semua perintah Tuhan Yesus dengan sepenuh hati menunjukkan bahawa seseorang itu benar-benar mengasihi Tuhan.
Mentaati seluruh perintah Tuhan bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan sekiranya seseorang itu benar-benar mengasihi Tuhan. Kasih menjadi pendorong utama bagi seseorang untuk mentaati perintah Tuhan tanpa banyak alasan atau dalih. Kasih menyebabkan kita tidak berasa rugi atau terbeban untuk mengikut semua perintah-Nya.
Inilah sebabnya Yohanes menghubungkan tiga perkara penting ini — kasih, ketaatan, dan kebenaran — yang mesti hadir dalam hidup orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Mereka harus menjalani hidup yang mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, mentaati perintah Tuhan, dan mengasihi saudara-saudara seiman.
Mengasihi Tuhan bermaksud akur dan taat akan perintah-Nya. Dengan kata lain, perintah Tuhan tidaklah sukar untuk kita taati jika kasih menjadi asas hidup kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku memohon agar Engkau menolong aku untuk menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada-Mu. Ajarlah aku untuk terus mentaati dan mengasihi-Mu seumur hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments