Bacaan Alkitab : Roma 8:29; Yohanes 2:6
Pernahkah kita menganggap pendoa syafaat sebagai kumpulan super-Kristian yang kelihatannya mempunyai talian terus ke syurga dan mungkin lebih rohani daripada kita? Jika ya, mari kita singkirkan mitos itu bahawa syafaat bukan untuk orang Kristian super yang tidak wujud, sebaliknya syafaat adalah bagi semua orang yang percaya dan ditebus oleh Kristus.
Menjadi pendoa syafaat adalah salah satu daripada panggilan utama setiap orang Kristian. Kebangkitan pendoa syafaat sangat perlu berdasarkan tiga kebenaran sebagai berikut.
(a) Yesus Sebagai Pengantara
Setiap dari kita dipanggil untuk suatu tugas pelayanan seperti berkhutbah, mengajar, bermain muzik, menginjil dan sebagainya, tetapi adakah kita sedar bahawa panggilan kita adalah menjadi serupa dengan Kristus?
Roma 8:29 AVB, Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya, maka Anak itu merupakan yang sulung di antara saudara yang ramai.
1 Yohanes 2:6 TB, Barangsiapa mengatakan, bahwa ia ada di dalam Dia, ia wajib hidup sama seperti Kristus telah hidup.
Kita dipanggil untuk menjadi serupa dengan Kristus dalam karakter-Nya dan gaya hidup- Nya. Dengan demikian, kita juga harus menjadi serupa dengan Dia dalam berdoa kerana Dia adalah Pemberi Syafaat Tertinggi.
Ibrani 7:25 AVB, Oleh itu, Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka.
Syafaat adalah untuk semua orang kerana Kristus hidup sebagai pengantara, mati sebagai pengantara, dan selamanya hidup untuk menjadi pengantara bagi kita.
Kebangkitan pendoa syafaat pertama-tama harus dilihat dari teladan Tuhan kita Yesus Kristus yang menjadi pengantara bagi kita kepada Bapa-Nya.
(b) Roh Kudus Seorang Pembela
Roh Kudus melakukan banyak perkara dalam kehidupan orang percaya. Dia adalah Penolong orang percaya. Dia menjaga dan menjamin keselamatan orang-orang yang diadiami-Nya (Efesus 1:13; 4:30). Roh Kudus membantu orang percaya dalam doa (Yudas 1:20) dan memohon syafaat bagi umat Tuhan sesuai dengan kehendak Tuhan (Roma 8:26–27).
Seorang pendoa syafaat ibarat peguam bela untuk orang lain sama seperti yang dilakukan oleh Roh Kudus.
Yohanes 14:26 AVB, Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu.
Roh Kudus telah diutus untuk menjadi Pembela bagi kita. Dia adalah Pemberi Syafaat. Dia bekerja di dalam dan melalui kita untuk menjadi pendoa syafaat.
Intipatinya cukup jelas iaitu bahawa kita harus digalakkan untuk berdoa sebagaimana Roh Kudus berdoa bagi kita. Roh Kudus yang diam di dalam kita, dengan lembut menerima doa-doa kita dan menyelaraskannya dengan kehendak Tuhan di hadapan takhta-Nya.
Kebangkitan pendoa syafaat harus didorong dari fungsi Roh Kudus yang menjadi Penolong dan Pembela bagi kita dalam doa.
(c) Perintah Kitab Suci
Alkitab adalah asas mutlak bagi kehidupan orang percaya dan bahawa kita semua, tanpa kecuali, dipanggil untuk memberi syafaat.
1 Timotius 2:1-2 AVB, 1Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia – 2untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat. (bnd Mazmur 122:6-9).
Efesus 6:18 AVB, Sambil itu, pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh, serta berjaga-jaga dengan segala ketekunan dan permohonan untuk semua orang yang salih.
Kita tidak akan memahami sepenuhnya misteri doa dalam kehidupan ini, tetapi kita tahu bahawa Tuhan memerintahkan kita untuk berdoa. Dia telah menetapkan doa sebagai cara kita bekerjasama dengan-Nya dalam melaksanakan kehendak-Nya yang berdaulat.
Kebangkitan pendoa syafaat harus dilakukan sesuai dengan perintah Kitab Suci sebagai asas mutlak bagi kehidupan orang percaya.
Untuk menyimpulkan, dengan melihat tiga kebenaran di atas, maka kebangkitan pendoa syafaat adalah sesuatu yang relevan sepanjang zaman dan tidak dapat diabaikan. Justeru, doa adalah gaya kehidupan Kerajaan Tuhan. Kita semua dipanggil untuk menjadi pendoa syafaat.
Kita semua sepatutnya menjadi seperti Yesus dalam syafaat. Kita semua selayaknya membenarkan Roh Kudus mengalir melalui hidup kita dan menyatakan diri-Nya dalam syafaat kita. Dan kita semua diperintahkan untuk mentaati perintah Tuhan dalam Kitab Suci.
Bagaimanakah anda tahu bahawa anda dipanggil untuk menjadi pendoa syafaat? Periksa paru-paru anda. Adakah anda bernafas? Jika ya, maka, anda dipanggil untuk menjadi pendoa syafaat!
Bahan Doa
Saya berdoa Kebangkitan Pendoa Syafaat terus menjadi pemangkin kepada kegerakan rohani yang sedang terjadi di seluruh gereja dan mencetus kebangunan rohani secara nasional dan global.
1. Penjangkauan Warga Asing yang berada di negara ini terus menjadi misi dalaman gereja-gereja khususnya untuk penuaian besar-besaran.
2. Pemeliharaan Tuhan untuk Pendatang Tanpa Izin yang juga dikasihi Tuhan. Mereka menerima layanan yang baik dan adil. Mereka mengalami lawatan Tuhan, pertobatan besar-besaran dan keselamatan dalam nama Tuhan.
3. Malaysia terus memelihara hubungan Perhubungan Antarabangsa yang baik di seluruh dunia. Ini akan meningkatkan perniagaan dua hala dan menjadi pendorong kepada kebangkitan ekonomi secara global.
Comments