top of page

Kedatangan Kristus Untuk Menghapuskan Dosa


“Kamu tahu bahawa Kristus dihantar untuk menghapuskan dosa umat manusia; dalam diri-Nya tiada dosa.” – 1 Yohanes 3:5 AVB


Yohanes memberitahu orang percaya bahawa kedatangan kali pertama Yesus ke dunia ini sebagai manusia adalah untuk menghapuskan dosa umat manusia. Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. (Roma 6:23 AVB)


Untuk menebus manusia yang berdosa daripada akibat dosa, seekor anak domba yang tidak bercacat cela diperlukan sebagai korban penghapus dosa. Oleh itu, Allah mengutus Anak Tunggal-Nya, Yesus Kristus, ke dunia ini sebagai manusia demi menghapuskan dosa semua manusia.


Yesus layak menjadi Anak Domba yang tidak bercacat cela kerana dalam Dia langsung tidak ada dosa, tidak ada sesuatu pun yang bertentangan dengan kehendak Allah pada bila-bila masa dan dalam apa cara sekalipun. Sebab dalam Yesus tidak ditemukan satu dosa pun, maka layaklah Yesus menjadi Anak Domba yang dikorbankan untuk menebus kita daripada dosa.


Oleh itu, kita amat bersyukur kepada Tuhan yang menyerahkan Anak-Nya untuk dikorbankan bagi dosa kita, agar kita tidak binasa tetapi dibebaskan daripada hukuman dosa.


Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk mengucapkan syukur atas kasih-Mu yang sangat besar sekali dalam hidupku. Walaupun aku orang berdosa, Tuhan Yesus Kristus rela mati di salib untuk menyelamatkan aku daripada hukuman. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page