Kehidupan Mereka Menjadi Bukti Kebenaran
- Komuniti Digital 05
- 2 days ago
- 2 min read

'Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar oleh semua orang yang menerimanya.” ' (Lukas 7:35) AVB
Kehadiran Yohanes Pembaptis yang diutus untuk mempersiapkan jalan bagi Tuhan disambut oleh orang ramai, termasuk para pemungut cukai. Mereka datang kepada Yohanes dan dibaptiskan olehnya. Namun demikian, golongan Farisi dan ahli Taurat tidak mahu menerima kehendak Allah ke atas diri mereka dan menolak untuk dibaptiskan oleh Yohanes.
Mereka (orang Farisi dan ahli Taurat) mengecam dan menolak Yohanes dengan mengatakan bahawa dia adalah seorang yang kerasukan syaitan, hanya kerana Yohanes datang dalam keadaan berpuasa dan tidak minum wain. Oleh itu, mereka menganggapnya gila atau dirasuk.
Begitu juga dengan Yesus — apabila Dia datang dan makan serta minum bersama orang yang dianggap najis dan berdosa, mereka berkata bahawa Yesus ialah seorang yang rakus, pemabuk, sahabat kepada pemungut cukai dan teman kepada orang yang hina di mata masyarakat.
Walaupun Yesus dihina dan diancam oleh orang Farisi dan ahli Taurat, Dia tidak lemah semangat atau goyah dengan ancaman mereka. Sebaliknya, Yesus berkata bahawa perbuatan semua orang yang telah menerima kebijaksanaan daripada Allah menjadi bukti bahawa kebijaksanaan itu adalah benar.
Melalui kebijaksanaan Allah, mereka menyerahkan hidup mereka di bawah pimpinan dan kuasa kebijaksanaan tersebut. Maka, semua yang telah menerimanya berpuas hati dengan cara anugerah yang ditunjukkan oleh Allah, dan mereka tidak merasa rugi atau malu meskipun dicemuh kerana menerima kebijaksanaan daripada Allah.
Hal ini menyatakan kepada kita bahawa kehidupan mereka yang menerima kebijaksanaan Allah telah menjadi bukti nyata tentang kebenaran — bahawa kebijaksanaan Allah itu sesungguhnya benar.
Oleh itu, biarlah kebenaran itu dibuktikan melalui kehidupan dan perbuatan setiap orang yang menerimanya dalam hidup mereka.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, menyerahkan seluruh kehidupanku kepada-Mu. Pakailah hidupku sebagai alat-Mu untuk menyatakan kebenaran-Mu kepada semua orang di sekelilingku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments