
1 Samuel 31:4-6, 9-13 (AVB)
4Berkatalah Saul kepada pembawa senjatanya, “Hunuslah pedangmu dan tikamlah aku, supaya jangan datang kalangan yang tidak bersunat ini menikam aku dan mempermainkan aku.” Namun begitu, pembawa senjata yang amat takut itu enggan menurut perintah itu. Maka Saul sendiri mengambil pedang itu dan menjatuhkan dirinya ke atasnya.5Apabila pembawa senjatanya melihat bahawa Saul sudah mati, dia juga menjatuhkan dirinya ke atas pedangnya, lalu mati bersama-sama Saul. 6Pada hari itu, gugurlah Saul, ketiga-tiga orang anaknya dan pembawa senjatanya, dan seluruh tenteranya.9Lalu mereka memenggal kepala Saul, melucutkan baju perangnya dan mengutus beberapa orang berkeliling tanah orang Filistin untuk menguar-uarkan hal itu di rumah-rumah berhala mereka dan juga kepada rakyat.10Mereka menyimpan baju besi Saul di dalam kuil Asytoret serta memakukan mayatnya di tembok kota Bet-Sean.11Apabila penduduk Yabesh-Gilead mendengar apa yang telah dilakukan orang Filistin terhadap Saul,12semua orang yang gagah perkasa segera mengadakan perjalanan semalam-malaman. Mereka mengambil mayat Saul dan mayat anak-anaknya dari tembok Bet-Sean. Setelah itu, mereka pulang ke Yabesh dan membakar mayat-mayat itu.13Lalu mereka mengambil tulang-tulang itu dan menguburkan semuanya di bawah pokok tamariska di Yabesh. Kemudian mereka berpuasa selama tujuh hari.
Pengajaran/ Refleksi.
1. Sungguh kasihan melihat kematian Raja Saul. Oleh kerana beliau tidak mahu mati dibunuh oleh musuh mereka, maka Raja Saul meminta pembawa senjatanya membunuhnya, tetapi pembawa senjata itu tidak berani melakukannya. Oleh itu Raja Saul menghunus pedangnya dan menikam dirinya sendiri. Begitu juga dengan pembawa senjata Raja Saul menikam diri sendiri. Ketiga anak lelaki Raja Saul dan semua pembawa senjatanya meninggal pada hari itu.
2. Musuh Raja Saul memenggal kepalanya dan mengambil baju perangnya dan disimpan di dalam kuil Dewi Asytoret dan badannya dipakukan pada tembok kota Bet-Sean. Beberapa orang Yabes yang paling berani datang ke Bet-Sea dan menurunkan jenazah Raja Saul dan anak-anaknya dari tembok kota, lalu membawanya kembali ke Yabes, dan membakar jenazah-jenazah itu di sana.
Walaupun Raja Saul telah meninggalkan Tuhan dalam kehidupannya, tetapi orang Yabes tetap prihatin kepadanya dan mengambil jenazahnya, membakarnya dan mengumpul tulang-tulangnya dan mengembumikannya di bawah pokok Tamariska di kota Yabes, lalu mereka berpuasa selama tujuh hari. Firman Tuhan hari ini mengajar kita, supaya kita tetap prihatin terhadap satu sama lain. Halleluya dan amin!!
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini ya Bapa yang mengajar kami. Berkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani ya TUHAN terutamanya mereka yang membaca renungan ini. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments