top of page

Kembali Untuk Memuliakan Allah!


Lukas 17:17-18 (TB) Lalu Yesus berkata: "Bukankah kesepuluh orang tadi semuanya telah menjadi tahir? Di manakah yang sembilan orang itu? Tidak adakah di antara mereka yang kembali untuk memuliakan Allah selain dari pada orang asing ini?"


Satu hal yang sangat penting yang saya pelajari selepas saja selesai mengikuti acara-acara rohani yang besar seperti konferensi, konvensyen, dan apa pun jenis acara penganjuran gereja adalah kembali untuk memuliakan Allah atau kembali untuk mengucap syukur kepada Allah.


Banyak orang Kristian begitu rindu meminta kuasa, pengurapan dan penyertaan Tuhan ketika melayani. Ini tidak menghairankan kerana hanya kuasa Tuhan sahaja yang dapat menghasilkan pelayanan yang berimpak besar dan memberkati orang-orang yang hadir secara mendalam. Lagipun, nilai reputasi dan harga diri kita juga semakin bertambah di mata orang ketika pelayanan berhasil. Hal ini baik dan tidak ada masalah. Allah juga rindu memberkati kita dan mahu pelayanan kita hebat, berhasil dan sukses.


Namun, Allah bukan sekadar mahu memberkati dan menyertai kita di dalam pelayanan, terlebih besar Dia mahukan hubungan yang intim dengan kita. Masalahnya, kita manusia terlalu obses dengan pengurapan, kuasa dan penyertaan-Nya sehingga tanpa sedar, kita lupa berhubungan dengan-Nya. Selepas kita mendapat apa yang kita mahukan daripada-Nya, kita berpuas hati dan gembira, dan cenderung kembali kepada cara hidup kita yang semula iaitu segala sesuatu harus terjadi sesuai acuan dan ekspektasi kita. Tanpa sedar, kita memanipulasi atau mempergunakan Allah. Apabila perlu, kita meminta kuasa, penyertaan dan perkenan-Nya. Ketika sudah mendapatkannya, tugas Allah sudah selesai di situ.


Allah bukan sekadar juruberkat atau slot mesin ATM. Dia rindu berhubungan dengan kita. Dalam teks firman di atas, terdapat 10 orang kusta yang disembuhkan oleh Yesus tetapi hanya seorang yang kembali kepada Yesus untuk mengucap syukur dan memuliakan Allah. Saya percaya bahawa orang yang kembali untuk memuliakan Allah itulah satu-satunya yang mendapat berkat yang penuh dan lengkap. Secara fizikal, dia disembuhkan dari penyakit kusta, dan secara rohani, imannya telah menyelamatkannya (Luk 17:19). Maksudnya, 9 orang yang tidak kembali itu terlepas berkat rohani yang diucapkan oleh Yesus.


Sikap kembali untuk memuliakan Allah selepas selesai melayani atau mengikuti acara-acara konferensi menyebabkan berkat yang kita perolehi menjadi utuh dan lengkap. Saya juga percaya bahawa cara ini jugalah cara yang terbaik untuk mengekalkan atau menjaga api yang diperolehi daripada konferensi dan yang sewaktu dengannya. Kita mahukan manfaat penuh daripada acara rohani, bukannya kembali menjadi seperti biasa tanpa transformasi. Oleh itu, marilah kembali untuk memuliakan Allah!


Pr Roy Dinsim

Comments


bottom of page