top of page

Kemenangan Melalui Kasih Karunia-Nya





Pernahkan anda mengalami pergelutan dalaman ataupun pergumulan rohani yang mana di saat anda mahu berserah secara total kepada Tuhan, hidup suci, kudus dan murni dalam setiap aspek kehidupan peribadi anda sebagai satu persembahan yang hidup dan murni di hadapan Tuhan, namun yang terjadi adalah sebaliknya? Dalam anda mahu menghidupi Firman Tuhan dengan sungguh-sungguh namun tanpa anda sedari, dengan tidak sengaja atau sengaja anda terkadang terlepas dan melanggar batas-batas murni ataupun tersandung dek hal-hal yang menyebabkan anda terjatuh dan berdosa. Anda merasa begitu kecewa, sakit hati, tertuduh dan sangat menyesal bahkan kekadang anda sampai mengutuki diri anda sendiri oleh kerana sikap berdosa dan ketidak-murnian anda tersebut. Anda tidak keseorangan. Rasul Paulus juga mengalami keadaan pergelutan yang sama seperti ini, dia berkata di dalam Roma 7:18-19, “Sebab aku tahu, bahwa di dalam aku, yaitu di dalam aku sebagai manusia, tidak ada sesuatu yang baik. Sebab kehendak memang ada di dalam aku, tetapi bukan hal berbuat apa yang baik. Sebab bukan apa yang aku kehendaki, yaitu yang baik, yang aku perbuat, melainkan apa yang tidak aku kehendaki, yaitu yang jahat, yang aku perbuat.”


Selagi kita hidup sebagai manusia dalam tubuh yang fana ini, kita akan sentiasa cenderung bergelut dengan pelbagai jenis keinginan fikiran dan nafsu kedagingan. Sifat kejatuhan semulajadi manusia yang berdosa telah menyebabkan kita tunduk kepada keinginan-keinginan nafsu kedagingan, pemikiran-pemikiran yang negative serta emosi-emosi yang toksik akibat daripada nafsu, ketamakan, kesombongan, kekalahan dan sebagainya. Hukum-hukum agama tidak dapat menyelamatkan serta membebaskan kita sepenuhnya oleh kerana kelemahan sifat berdosa semulajadi kita. Namun kerana kasih karunia-Nya yang sangat besar Tuhan telah melakukan apa yang hukum-hukum agama tidak dapat lakukan. Tuhan telah menghantar Anak-Nya dalam bentuk tubuh manusia yang kita miliki hari ini. Dan di dalam tubuh-Nya itu Tuhan mengisytiharkan pengakhiran akan kawalan kuasa dosa ke atas hidup kita dengan memberi Anak-Nya sebagai korban bagi dosa kita (Rom 8:3 “Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa”).


Rasul Paulus telah memperhatikan corak kehidupannya sendiri. Dia ingin melakukan perkara yang benar. Dia jujur dan ikhlas. Namun masih tetap juga melakukan perkara-perkara yang dia benci lakukan. Dia akui dan sedar bahawa dengan kemampuannya sendiri, dia tidak dapat melakukan perkara yang baik dan benar, kerana dia sendiri bukanlah sumber yang “baik”. Dia mempunyai keinginan, tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan apa yang benar. Ini sesuai dengan apa yang Rasul Paulus katakan mengenai mereka yang tinggal di bawah hukum-hukum agama. Usaha-usaha mereka untuk mengikuti hukum-hukum agama menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak mampu untuk mengikuti tuntutan hukum-hukum agama sepenuhnya, bahawa mereka benar-benar adalah hamba kepada dosa.

Dalam Roma 7:24 Rasul Paulus berteriak, “Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini?” Namun sama seperti Rasul Paulus, kita bersyukur kerana adanya ayat 7:25 yang mengatakan, “Syukur kepada Allah! melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.” Jawapan bagi setiap pergelutan dalaman dan pergumulan rohani kita hanya didapati dalam keperibadian Yesus Kritus. Secara zahiriah, walau sebanyak mana sekalipun usaha dan amalan kita, tetap saja kita tidak dapat memuaskan serta memenuhi semua tuntutan hukum-hukum agama, namun secara rohani dengan iman yang percaya kepada kasih karunia yang dicurahkan melalui Yesus Kristus Tuhan kita, kita telah bebas dan dapat bersukacita dalam erti kata yang sebenarnya serta dapat mengalami kemenangan ke atas kehendak fikiran dan nafsu kedagingan melalui kuasa salib-Nya.


Seandainya hari-hari ini, di saat kita terpelecok mahupun tersandung oleh hal-hal yang tidak wajar yang menyebabkan kita tidak murni di hadapan Tuhan, marilah kita cepat-cepat kembali kepada-Nya, akui dosa-dosa kita serta memohon pengampunan-Nya. Marilah kita terus memandang kepada-Nya serta kasih karunia-Nya yang telah dicurahkan dengan penuh rahmat kepada kita. Amal perbuatan tidak dapat menyelamatkan kita melainkan iman yang percaya kepada kasih karunia-Nya melalui Yesus Kristus yang bekerja di dalam hidup kita. Sambil beriman dan percaya marilah kita juga hidup dengan penuh kesedaran bahawa Hadirat Tuhan sentiasa bersama-sama dengan kita dan Roh Kudusnya sentiasa bekerja bagi memurnikan kita sehingga kita menjadi seperti emas yang murni di hadapan-Nya bagi kemuliaan nama-Nya.


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.


Amen!

Sue


1 Comment


Ng Kee Chuan
Ng Kee Chuan
Apr 23, 2022

Masalah kita yang paling besar ialah kita fikir dan anggap kita mampu mengatasi semua pergelutan dan pergumulan dengan musuh "dosa" dengan kekuatan dan kebolehan sendiri. Hakikatnya ialah KITA TIDAK DAPAT! Kita perlu bantuan, iaitu bantuan yang disediakan oleh Allah - Roh Kudus (Yohanes 14:16-17). Selagi kita terima hakikat keperluan ini, selagi itulah kita akan terus terperangkap dalam kitaran dosa sebagai orang yang percaya. Kita mesti melepaskan keangkuhan kita bahawa kita mampu dan mula belajar bersandar kepada Roh Allah, Penolong yang hidup di dalam kita dan menyertai kita selalu dalam semua situasi dan keadaan.

Like
bottom of page