top of page

Kemenangan Yesus Menjamin Kemenangan Kita Atas Iblis

Setelah Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu. Lukas 4:13 AVB

 

Iblis telah menggoda Yesus sebanyak tiga kali, namun semua usahanya gagal menjatuhkan Yesus. Iblis menggunakan 3 cara yang berbeza untuk menggoda Yesus, iaitu:

 

Cara pertama yang digunakan oleh Iblis untuk menggoda Yesus berkaitan dengan kekuasaan-Nya (Luk 4:2-4). Iblis menyuruh Yesus untuk mengubah batu menjadi roti. Walaupun Yesus boleh sahaja melakukannya, tetapi Yesus tahu bahawa tujuan hadirat-Nya di dunia ini adalah untuk memuliakan Tuhan.

 

Cara kedua yang digunakan oleh Iblis untuk menggoda Yesus berkaitan dengan kemewahan dunia ini (Luk 4:5-8). Bagaimanapun, Yesus menolak tawaran Iblis kerana seluruh dunia ini sebenarnya milik Allah, bukan milik Iblis. Dengan itu, Yesus menolak kerajaan dunia dengan segala harta kemewahan dan kekuasaan yang ditawarkan oleh Iblis.

 

Cara ketiga yang digunakan oleh Iblis untuk menggoda Yesus berkaitan dengan “menduga” Tuhan (Luk 4:4-12). Iblis dengan liciknya memutarbelitkan kebenaran Firman Tuhan dengan mengutip ayat daripada Mazmur 91:11,12 yang menyatakan bahawa Allah berjanji untuk menolong Yesus sekiranya Dia terjun dari puncak Bait Suci.

 

Godaan Iblis terhadap Yesus gagal sama sekali. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa kita juga boleh mengatasi godaan Iblis, jika kita mengikut sikap atau teladan Yesus sewaktu kita menghadapi godaan Iblis. Yesus tetap teguh dengan pendirian-Nya, iaitu setia terhadap kehendak dan tujuan Allah Bapa yang mengutus-Nya ke dunia.

 

Jelaslah bahawa “penguasaan Roh Tuhan, Firman Tuhan dan tetap setia mengikut kehendak Tuhan” merupakan kunci kemenangan kita atas godaan Iblis. Lebih-lebih lagi, kemenangan Yesus menjamin kemenangan kita.

 

Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi menyerahkan seluruh hidupku ke dalam tangan-Mu. Aku memohon kekuatan dan bimbingan-Mu apabila aku menghadapi godaan Iblis. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comentarios


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page