Membesar didalam keluarga Kristian, pelayanan di gereja sudah menjadi gaya hidup bagi kami. Dan kini, sebagai seorang pastor dan bapa kepada tiga orang anak, saya meneruskan legasi keluarga dengan memberi pendedahan dan melatih anak-anak kami untuk terlibat melayani di gereja.
Mungkin ada yang berfikir bahawa tidak hairan bagi saya untuk tetap melayani sehingga ke hari ini kerana saya dibesarkan dalam keluarga kristian. Namun ingin saya katakan bahawa sekiranya saya tidak menangkap tujuan sebenar pelayanan, saya akan mengalami burnout (keletihan rohani) dan akan berhenti dari melayani.
Oleh itu, saya ingin mengongsikan 5 sebab mengapa setiap orang percaya harus melayani di gereja lokal masing-masing.
1) Melayani melatih kita untuk peka kepada keperluan orang lain
Filipi 2:3-4 “...dengan tidak mencari kepentingan sendiri atau puji-pujian yang sia-sia. Sebaliknya hendaklah dengan rendah hati yang seorang menganggap yang lain lebih utama dari pada dirinya sendiri; dan janganlah tiap-tiap orang hanya memperhatikan kepentingannya sendiri, tetapi kepentingan orang lain juga.”
Rasul Paulus mengajar kita untuk saling memperhatikan satu sama lain dan mengutamakan orang lain sama seperti Yesus yang memperhatikan setiap keperluan kita. Hari ini, ramai orang Kristian yang sibuk dengan diri sendiri sehingga tidak ada masa untuk orang lain. Ini jelas cara hidup yang tidak sama seperti Yesus kerana Yesus dalam kesibukanNya, masih peka dengan keperluan orang yang ada disekitarNya.
2) Melayani dapat membangun komuniti
Melayani di gereja lokal membolehkan kita membina hubungan dengan jemaat lain.
Pengkhotbah 4:9-12 menunjukkan betapa pentingnya bagi kita untuk melayani dan saling menyokong antara satu sama yang lain kerana banyak tugas dapat dilakukan bersama dan banyak cabaran yang dapat diharungi bersama sekiranya kita sama-sama melayani dalam gereja lokal kita.
3) Pertumbuhan kerohanian secara peribadi.
Secara jujur, sewaktu saya mula-mula terlibat dengan pelayanan di gereja. ada beberapa kali saya melakukannya kerana dipaksa oleh ibubapa ataupun pemimpin saya. Namun saya belajar untuk taat kepada pemimpin saya dan setia melakukannya, bahkan ada waktunya saya melakukannya tanpa mengerti mengapa saya harus melakukannya.
Looking back, saya bersyukur kerana saya mendisiplinkan diri saya untuk melayani, saya bertumbuh dalam kerohanian saya. Saya belajar untuk mendengar suara Tuhan, mematikan keinginan diri saya supaya orang lain dapat dilayani dan secara tidak langsung saya menjadi matang dalam kerohanian saya kerana mulai dipertanggungjawabkan untuk melayani jiwa-jiwa.
4) Kita melayani Yesus.
Dalam Matius 25:35-40 “…Aku berkata kepadamu, sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku”, Yesus menunjukkan kepada kita bahawa bila kita melayani satu sama lain, khususnya bila kita melayani orang yang paling hina atau yang tidak layak dilayani, kita sebenarnya melakukannya untuk Dia.
5) Meneladani Tuhan Yesus.
Yesus berkata dalam Yohanes 13 :14-15 “Jadi jikalau Aku membasuh kakimu, Aku yang adalah Tuhan dan Gurumu, maka kamu pun wajib saling membasuh kakimu; sebab Aku telah memberikan suatu teladan kepada kamu, supaya kamu juga berbuat sama seperti yang telah Kuperbuat kepadamu.”
Tidak masuk akal jika kita mengaku diri kita murid Yesus namun tidak melakukan apa yang Yesus lakukan. Yesus terlebih dahulu menunjukkan teladan kepada kita. Dia merendahkan diriNya untuk mencuci kaki setiap murid-Nya. Yesus juga memberi makan 5 ribu orang yang kelaparan selepas Dia selesai berkhotbah. Dia menyembuhkan orang sakit dan bahkan membangkitkan orang mati.
Yesus mengajar kita mengenai kepentingan melayani. Apakah yang menjadi alasan kita untuk tidak melayani? Sekiranya anda mahu terlibat dalam pelayanan, berjumpalah dengan pastor atau pemimpin anda di gereja. Sekiranya anda tidak dapat melayani setiap hari minggu atau pada hari minggu, tawar diri anda untuk melayani dalam pelayanan lain seperti menjadi pemandu untuk para jemaat atau terlibat dalam projek atau acara tertentu di gereja.
Saya percaya ada banyak kesempatan bagi kita untuk melayani di gereja lokal kita. Jangan jadikan kesibukan kerja atau pelajaran sebagai alasan untuk kita tidak melayani Tuhan. Dia sudah memberikan kita hidup yang baru, pergunakanlah hidup kita untuk kemuliaan-Nya.
Oleh Pr Wagner Daniel
Comentarios