top of page

Kerana Yesus, Dunia Membenci, Menolak, dan Menghina Kita


"...Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan menjahatkan namamu kerana Anak Manusia..." (Lukas 6:22) AVB


Setiap orang yang mengambil keputusan untuk menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Tuhan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat secara peribadi harus bersedia membayar harga yang perlu mereka tanggung. Ini kerana, dengan penyerahan hidup mereka kepada Tuhan Yesus, mereka telah memilih untuk berpindah hak milik daripada dunia ini kepada Tuhan Yesus.


Oleh itu, mengikut Tuhan Yesus bermaksud kita telah menjadi milik-Nya sepenuhnya dan meninggalkan segala kehidupan duniawi. Kita membiarkan seluruh kehidupan kita dipimpin oleh Yesus sahaja.


Disebabkan hal itu, dunia akan membenci kita kerana kita bukan lagi miliknya, tetapi sudah menjadi milik Tuhan Yesus. Dunia sangat membenci kita kerana dunia telah terlebih dahulu membenci Tuhan Yesus. Maka, ketika kita membuat keputusan untuk mengikut Tuhan Yesus, kita sebenarnya telah memilih untuk berpisah daripada kehidupan dunia ini.


Setiap orang yang telah memilih untuk mengikut Tuhan Yesus harus rela untuk mengikuti jalan-Nya. Mereka harus bersedia menghadapi penolakan, penghinaan, kebencian, dan fitnah kerana iman mereka kepada Tuhan Yesus. Namun, jika mereka tetap tabah dalam mengikut Yesus, berkat yang besar menanti mereka pada masa yang akan datang.


Oleh itu, janganlah kita berundur apabila dibenci, ditolak, dihina, dan difitnah kerana Yesus. Sebab, pada masa lalu, umat Israel juga memperlakukan nabi-nabi Tuhan dengan cara yang sama. Namun, pahala yang besar tersedia di syurga bagi orang yang setia sampai akhir.


Maka, "...Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan menjahatkan namamu kerana Anak Manusia..." (Lukas 6:22) AVB


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu memohon bimbingan-Mu. Teguhkanlah hatiku ketika menghadapi kesukaran, penghinaan, dan cemuhan kerana mengikut Engkau. Kuatkanlah imanku hingga akhir hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page