Hakim-Hakim 3:7-11 (BM)
Umat Israel lupa akan TUHAN, Allah mereka. Mereka berdosa terhadap TUHAN dan menyembah berhala-berhala Baal dan Asyera. Oleh itu TUHAN sangat murka terhadap mereka, lalu membiarkan Raja Kusyan-Risyataim dari Mesopotamia menaklukkan mereka. Mereka diperintah oleh raja itu selama lapan tahun. Kemudian umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN, lalu Dia mengutus seorang lelaki bernama Otniel anak Kenas untuk membebaskan mereka. Kenas ialah adik lelaki Kaleb. Roh TUHAN menguasai Otniel, dan dia menjadi pemimpin umat Israel. Otniel pergi berperang, dan TUHAN memberi dia kemenangan atas raja Mesopotamia. Negeri itu aman selama empat puluh tahun, kemudian Otniel meninggal.
Pengajaran/Refleksi
Beberapa perkara yang harus kita pelajari:
1. Firman TUHAN hari ini mengajar kita supaya jangan lupa akan kebaikan TUHAN yang telah menyelamatkan kita.
2. Jangan berbuat dosa terhadap TUHAN dengan menyembah berhala-berhala, sebab TUHAN akan murka terhadap orang yang berbuat demikian. TUHAN juga akan membiarkan orang itu ditakluki oleh musuh-musuhnya.
3. Jika kita berbalik kepada TUHAN dan berseru kepada-Nya minta tolong, maka TUHAN dapat dipercayai dan akan menolong kita dengan mengutus hamba-Nya seperti Otniel untuk menolong kita.
UNTUK MEMPEROLEH KEMENANGAN DALAM TUHAN, KITA HARUS TAATILAH PERINTAH TUHAN SEUMUR HIDUP KITA.
Doa
Terima kasih TUHAN, kerana Engkau memperingatkan kami sekali lagi dengan Firman-Mu hari ini. Berikan kekuatan bagi kami umat-Mu supaya kami mentaati Firman-Mu. Hamba berdoa, supaya Engkau memberkati setiap jemaat-Mu yang membaca dan melakukan Firman-Mu ini. Dalam nama Yesus. Haleluyah dan Amen.
Rev. Ali Langgit
コメント