top of page

Keutamaan Dalam Hidup Kita

 

Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ” Lukas 4:4 AVB

 

Lukas mengisahkan Yesus digoda oleh Iblis setelah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam. Setelah tidak makan minum selama 40 hari dan 40 malam, Yesus pun kelaparan. Secara manusiawi Yesus sangat memerlukan makanan supaya tenaga-Nya dapat dipulihkan.

 

Dalam keadaan yang sangat lapar dan lemah, Yesus amat memerlukan makanan untuk memulihkan tenaga-Nya. Pada saat Yesus sangat memerlukan makanan, Iblis datang untuk menggoda-Nya dengan berkata “Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti." Secara manusiawi tidak dinafikan bahawa Yesus sangat memerlukan roti untuk dimakan bagi memulihkan tenaga-Nya, namun Dia memilih untuk menolak perintah Iblis supaya mengubah batu menjadi roti.

 

Secara ilahi, mengubah batu menjadi roti bukanlah sesuatu yang sukar bagi Yesus, kerana Dia menciptakan dunia ini daripada tiada menjadi ada. Akan tetapi, Dia memilih untuk tidak mengikut perintah Iblis, iaitu mengubah batu menjadi roti. Lebih-lebih lagi, Yesus berkata kepada Iblis “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ”

 

Hal ini memperlihatkan perkara yang terutama dalam hidup kita sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Secara manusiawi kita memerlukan semua keperluan tubuh badan kita setiap hari. Namun begitu, apakah hal itu sebegitu penting bagi diri kita sehingga kita akan mengalami kerugian besar sekiranya kita menolak untuk memperolehnya?

 

Marilah kita membuat renungan kendiri pada saat ini. Apakah kita selama ini telah memusatkan seluruh fikiran kita untuk memenuhi keperluan jasmani kita sahaja, tanpa memikirkan hal kerohanian kita, iaitu hal-hal yang boleh mendatangkan kebahagiaan, ketenangan dan kedamian dalam hidup ini?

 

Dengan itu, kita harus lebih mengutamakan hidup rohani kita daripada hidup jasmani kita. Hidup kita perlulah diseimbangkan antara keperluan jasmani dengan keperluan rohani bagi mengekalkan keberlangsungan hidup kita di dunia ini.

 

Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Tuhan mengajar aku untuk menjalani hidupku menurut kehendak-Mu, agar aku akan mengenal keutamaanku dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page