Efesus 6:10 - 11
10. Akhirnya, hendaklah kamu kuat di dalam Tuhan, di dalam kekuatan kuasa-Nya.
11. Kenakanlah seluruh perlengkapan senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan melawan tipu muslihat Iblis;
Bagaimanakah untuk kuat di dalam Tuhan? Sudah tentu di dalam kekuatan kuasa-Nya, bukan di dalam kekuatan kuasa kita. Tapi bagaimana untuk masuk dalam kekuatan kuasa Tuhan? Jawapan mudah, kenakanlah seluruh perlengkapan senjata Allah (ayat 11).
Kenakanlah itu bermaksud pakailah. Jadi, untuk masuk di dalam kekuatan kuasa Tuhan, ada sesuatu yang perlu kita pakai dan ini berbicara secara rohani, bukan fizikal. Mengenakan atau memakai itu adalah sesuatu yang disengajakan. Jangan tunggu Tuhan melakukan segala perkara bagi kita. Kita bukan anak-anak yang disuap sahaja sehingga jadi manja. Kita adalah anak-anak Tuhan yang bakal menjadi soldier secara mental! Kita tidak pernah diselamatkan oleh Tuhan hanya sekadar untuk menjadi pasif.
Ok, sekarang, bagaimana memakai hal rohani? Yesus memudahkannya bagi kita ketika Dia berkata "Berjaga-jagalah dan berdoalah, supaya kamu jangan jatuh ke dalam pencobaan: roh memang penurut, tetapi daging lemah" (Mat 26:41). Kuncinya terletak di dalam sikap berjaga-jaga dan berdoa. Itu berbicara mengenai kewaspadaan minda. Orang yang berjaga-jaga dan berdoa itu adalah orang yang sangat berwaspada seperti seorang penjaga malam atau pengawal keselamatan.
Berjaga-jaga dan berdoa itu perlu disengajakan, itu perlu disiplin. Roh Kudus boleh mengingatkan dan memimpin kita dalam hal ini tetapi Dia tidak akan melakukannya bagi pihak kita. Kitalah yang perlu tunduk dan bersikap penurut dalam hal ini jikalau kita inginkan jiwa kita berpakaian. Orang yang tidak berwaspada ibarat orang yang tidak mengenakan pakaian yang mampu melindungi jiwanya. Pendek kata, dia telanjang secara rohani. Akibatnya, orang itu akan mudah jatuh dalam pencobaan dan ekspresi daging yang lemah akan begitu ketara sekali. Ekspresi rohnya yang penurut tidak tertonjol keluar sebagai buah dari tingkah lakunya.
Saudara, kita adalah orang yang berpakaian. Dunia ini penuh dengan bahaya-bahaya yang boleh menerkam kita sekiranya kita tidak ada perlindungan. Efesus 6 ini berbicara tentang pakaian khas bukan untuk Syurga tetapi untuk muka bumi. Allah tahu bahawa kita pasti akan memerlukannya bukan di Syurga tetapi di bumi. Mari kita berwaspada!
Pr Roy Dinsim
Comentarios