top of page

Kisah Kepala Penjara


Kis 16: 24, 26-27, 30

24 Sesuai dengan perintah itu, kepala penjara memasukkan mereka ke ruang penjara yang paling tengah dan membelenggu kaki mereka dalam pasungan yang kuat.

26 Akan tetapi terjadilah gempa bumi yang hebat, sehingga sendi-sendi penjara itu goyah; dan seketika itu juga terbukalah semua pintu dan terlepaslah belenggu mereka semua.

27 Ketika kepala penjara itu terjaga dari tidurnya dan melihat pintu-pintu penjara terbuka, ia menghunus pedangnya hendak membunuh diri, karena ia menyangka, bahwa orang-orang hukuman itu telah melarikan diri.

30 Ia mengantar mereka ke luar, sambil berkata: "Tuan-tuan, apakah yang harus aku perbuat, supaya aku selamat?"


Seingat kepala penjara, nyawanya sudah terjamin selamat kerana dia telah melakukan amanat yang ditugaskan kepadanya dengan sempurna. Dia diamanatkan untuk memastikan pemenjaraan Paulus dan Silas begitu ketat sehingga tidak ada kemungkinan lagi mereka akan terlepas. Kepala penjara telah memasukkan mereka ke ruang penjara yang paling sukar untuk melepaskan diri (penjara paling tengah) dan bukan setakat itu sahaja, kaki Paulus dan Silas dibelenggu dengan pasungan yang kuat. Keadaan Paulus dan Silas tidak mudah, mereka baru sahaja didera dengan teruk (KIS 16:23), ditambah dengan pasungan yang kuat di kaki mereka, kesakitan yang mereka alami sebenarnya berlipat kali ganda daripada yang biasa.


Mengapakah kepala penjara berbuat demikian? Pada zaman itu, undang-undang Kerajaan Roma bukan sahaja menghukum mati para tahanan yang terlepas, kerajaan juga akan menghukum mati para pegawai penjara yang bertugas sama ada tahanan yang terlepas itu disebabkan oleh mereka atau tidak. Itulah sebabnya kepala penjara begitu berhati-hati melakukan tugasnya kerana hal tersebut adalah soal hidup dan matinya. Kepala penjara begitu yakin dengan tugasnya yang sudah selesai sehingga dia mampu tidur dengan nyenyak (ayat 27) tanpa menyedari bahawa sebentar lagi penjara dan pasungan yang dianggap kokoh dan kuat itu dipatahkan.


Dipendekkan cerita, sejurus selepas terselamat daripada membunuh diri, kepala penjara mengajukan pertanyaan kepada Paulus dan Silas; "Tuan-tuan, apakah yang harus aku perbuat, supaya aku selamat?" Hal ini menghairankan kerana bukankah kepala penjara sudah terselamat daripada tindakan membunuh diri? Mengapakah kepala penjara mengajukan pertanyaan kepada Paulus dan Silas yang nampaknya bukan pada kedudukan yang “selamat” kerana mereka juga hampir mati didera dan bakal dihukum mati di penjara? Nampaknya kepala penjara menyedari sesuatu. Kalau kita perhatikan dengan teliti, pada peringkat awal, Paulus dan Silas terbelenggu oleh penjara dan pasungan. Di sisi kepala penjara pula, dia merasakan nyawanya kali itu terjamin kerana melakukan tugas yang sempurna. Namun, dalam sekejap mata sahaja, keadaan mereka bergantian.


Tiba-tiba, disebabkan oleh gempa, Paulus dan Silas tidak lagi dibelenggu penjara dan pasungan. Mereka sudah terlepas. Sekarang, yang berada dalam penjara ketakutan dan pasungan kematian adalah kepala penjara kerana nyawanya di hujung tanduk bergantung kepada status tahanan (terlepas atau tidak). Keadaan ini sebenarnya menyedarkan kepala penjara bahawa jaminan keselamatan hidupnya tidak terletak dalam tangannya mahupun pada benda atau orang lain. Itulah sebabnya kepala penjara mempertanyakan perbuatan apakah yang betul-betul menjamin keselamatannya kepada Paulus dan Silas. Akhirnya, Paulus dan Silas memberitakan Injil kepada kepala penjara. Injil yang telah diberitakan menyelamatkan dia dan seisi rumahnya. Kepala penjara telah menemukan jaminan kehidupan yang sejati. Haleluyah!


Pr Roy Dinsim



Comments


bottom of page