“Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu! Sebabnya dunia ini tidak mengenal kita ialah kerana dunia ini tidak mengenal Allah.” – 1 Yohanes 3:1 AVB
Yohanes menginginkan setiap orang percaya pada saat ini untuk merenungkan betapa besarnya kasih Allah Bapa kepada mereka, sehingga mereka diperakui sebagai anak-anak Allah dan benar-benar merupakan anak-anak-Nya. Oleh sebab dunia ini tidak mengenal Allah, dunia ini pun tidak faham bahawa mereka menjadi anak-anak Allah.
Apabila orang percaya menyerahkan hidup mereka sepenuhnya kepada Tuhan Yesus dan hidup bersatu dengan-Nya, mereka akan menerima status dan kedudukan yang baru dalam-Nya. Mereka tidak lagi disebut sebagai musuh Tuhan, melainkan disebut sebagai anak-anak-Nya. Status yang baru ini terhasil atas kasih-Nya yang sangat besar kepada mereka.
Begitu juga hubungan kita dengan Tuhan pada hari ini; kita menjadi anak-anak Tuhan bukan atas usaha kita sendiri, tetapi atas kasih dan anugerah Tuhan yang begitu besar kepada kita, yang diberikan oleh-Nya kepada setiap kita. Oleh sebab kasih-Nya, kita dilayakkan untuk menjadi anak-anak Tuhan.
Ingatlah, saya dan anda disebut sebagai anak-anak Tuhan pada hari ini bukan atas usaha kita sendiri atau kebaikan kita, tetapi atas kasih dan anugerah-Nya kepada kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan mengucapkan syukur kerana Engkau menerima aku sebagai anak-Mu. Walaupun aku orang berdosa, Engkau tetap menerima dan mengampuni aku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments