top of page

Kita Tidak Akan Bersendirian

“…Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama; semuanya meninggalkan aku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka dalam hal ini!...” 2 Timotius 4:16


Paulus berkata kepada kita bahawa sewaktu pertama kali dia diminta untuk membela dirinya di pengadilan, tidak ada seorang pun yang hadir untuk menolong dan mendampingi dirinya. Semua orang telah meninggalkan dirinya, namun demikian Tuhan tetap bersama-sama dengan dirinya.


Walaupun orang-orang yang bersamanya pada masa lalu meninggalkan dirinya (Paulus), dia tidak menyalahkan mereka yang telah meninggalkannya sewaktu dia di dalam pengadilan, tetapi dia tetap berdoa kepada Tuhan untuk mereka agar Tuhan akan mengampuni mereka.


Dalam kesulitan yang sedang dilalui oleh Paulus, Tuhan memberikan kekuatan kepadanya sehingga dia dapat memberitakan Berita Baik di mana-mana dia berada. Sebab dia tahu bahawa Tuhan Yesus mahu semua orang, terutamanya orang bukan Yahudi, untuk mendengar Berita Baik agar mereka diselamatkan daripada hukuman dosa iaitu kematian kekal.


Bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Adakah orang yang dekat dengan kita sudah meninggalkan kita sewaktu kita sedang melalui keadaan yang sangat sukar dalam hidup kita? Ingatlah pengalaman Paulus ini, walaupun dia ditinggalkan oleh orang-orang yang dekat dengannya dahulu, tetapi Tuhan tetap bersama-sama dengannya, memberikan kekuatan kepadanya.


Demikian juga dengan diri kita, sekiranya kita setia dan tetap hidup akrab dengan Tuhan, Dia akan tetap menolong dan memberikan kekuatan kepada kita, walaupun orang di sekeliling kita meninggalkan kita.


Doa:

Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon kekuatan daripada-Mu. Tuhan, kuatkan dan teguhkan hati saya. Biarlah Roh-Mu sentiasa membimbing hidup saya. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page