Ibrani 12:26-27 Waktu itu suara-Nya menggoncangkan bumi, tetapi sekarang Ia memberikan janji: “Satu kali lagi Aku akan menggoncangkan bukan hanya bumi saja, melainkan langit juga.” Perkataan ini, “Satu kali lagi,” menunjukkan penyingkiran segala yang boleh digoncangkan—iaitu segala yang telah dijadikan—supaya apa yang tidak dapat digoncangkan dapat tetap ada.
Tidak seperti nenek moyang kita, kita hidup di masa yang sangat mencabar. Di era Teknologi Maklumat, perubahan terjadi dengan sangat mendadak. Dengan hadirnya Kepintaran Buatan di tengah-tengah kita, kita semakin bingung, keliru, dan bimbang tentang masa depan kita, terutama bagi golongan belia dan kanak-kanak kita. Sumber daya dan maklumat tanpa had yang tersedia di dunia digital dalam talian hari ini, khususnya di bidang media dan komunikasi, boleh menjadi terlalu banyak. Mengetahui mana yang benar dan mana yang palsu telah menjadi satu cabaran yang nyata.
Syukur kepada Tuhan, Dia tidak meninggalkan kita. Dia telah memberi kita Roh Kudus untuk menolong kita mengharungi perjuangan yang tidak diketahui di hadapan kita. Janji ini terdapat dalam Yohanes 16:13, “Tetapi apabila Ia datang, yaitu Roh Kebenaran, Ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran; sebab Ia tidak akan berkata-kata dari diri-Nya sendiri, tetapi segala sesuatu yang didengar-Nya itulah yang akan dikatakan-Nya dan Ia akan memberitakan kepadamu hal-hal yang akan datang.”
Kita tidak perlu digoncangkan oleh masalah-masalah seperti itu. Kita boleh percaya pada janji-Nya. Belajarlah mendengar suara lembut Roh Kudus dan belajarlah berjalan bersama-Nya. Alangkah baik meluangkan masa dalam pujian dan penyembahan.
Doa:
Bapa Syurgawiku, saya berterima kasih kepada-Mu kerana telah memberi saya Roh Kudus yang ada untuk menolong saya mengharungi kesukaran hidup di hadapan saya. Ketika saya rasa takut atau bimbang akan masa depan, tolonglah saya mengubahnya menjadi doa disertai rasa syukur kepada-Mu. Pada masa yang sama, tolonglah saya untuk peka mendengar suara lembut Roh Kudus melebihi semua suara yang lebih kuat daripada kedagingan saya, dunia, dan Syaitan. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus, saya berdoa. Amin.
Berdoa agar Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, menjadi orang tengah yang baik dalam hal ehwal antara Malaysia Timur & Barat, dan agar Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (sekarang Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia) akan diuruskan dengan baik di bawah pentadbirannya.
Berdoa agar tim pelayanan di gereja anda, contohnya, tim penyembahan, tim Sekolah Minggu, tim hospitaliti, tim sel, dan sebagainya akan melayani dengan penuh sukacita dan kesyukuran, kerendahan hati dan jiwa yang manis, kerana mengetahui bahawa mereka bukan hanya melayani manusia, tetapi Yesus, Raja mereka.
Elder Khoo Kay Hup, Rev Looi Kok Kim
Comments