
Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut-Nya. Lukas 5:27-28 AVB
Pada suatu hari Yesus terpandang seorang pemungut cukai yang bernama Matius (Nama asalnya Lewi) sedang duduk di tempat memungut cukai. Dia bertugas memungut cukai daripada anggota masyarakat untuk diberikan kepada pemerintah Roma. Sewaktu Yesus melihat Matius, Dia berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!”
Apabila Matius mendengar panggilan Yesus kepadanya, dia dengan serta-merta bangun lalu meninggalkan pekerjaannya dan terus mengikut Yesus. Selepas itu, Matius mengadakan jamuan besar-besaran di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain turut makan bersama-sama mereka.
Apakah yang kita pelajari daripada tindakan Matius ini? Sewaktu seseorang itu membuat keputusan untuk mengikut Yesus, dia perlu melakukannya dengan segenap hatinya, seperti Matius. Sebaik sahaja Matius memutuskan untuk mengikut Yesus, dia meninggalkan segalanya tanpa memberikan apa-apa alasan kepada Yesus. Tanpa berlengah-lengah dia meninggalkan tugasnya lalu terus mengikut Yesus.
Mengikut Yesus menuntut penyerahan yang sepenuhnya kepada Tuhan Yesus, iaitu satu pengorbanan terhadap sesuatu yang kita kasihi dalam hidup ini. Dengan segenap hati kita hendaklah menyerahkan seluruh hidup kita kepada Tuhan Yesus untuk dikendalikan-Nya.
Bagaimanakah dengan diri anda pada hari ini?
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan daripada-Mu. Sekiranya aku tidak sepenuhnya mengikut Engkau, ajarlah aku untuk berserah diri kepada-Mu dalam segala-galanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments