1 Samuel 2:17-18 (BM)
Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak terus mengabdi kepada TUHAN. Samuel memakai baju khas daripada kain linen, seperti baju ibadat para imam. Tiap-tiap tahun ibu Samuel membuat jubah kecil, lalu memberikan jubah itu kepada Samuel apabila ibu itu datang bersama dengan suaminya untuk mempersembahkan korban tahunan.
Pengajaran/Refleksi
Hana adalah seorang yang beribadah kepada Tuhan dengan ikhlas dan pasrah sepenuhnya. Dia bahkan sanggup menyerahkan Samuel, anak yang telah lama ditunggunya, untuk menjadi hamba Tuhan (ayat 11, rujuk 1:28). Tindakan Hana adalah berbeza dengan tindakan anak-anak Eli: Hofni dan Pinehas. Mereka adalah orang yang berpura-pura melayani Tuhan, tetapi sebenarnya mereka melayani diri mereka sendiri. Mereka dengan sewenang-wenangnya melanggar dan mengubah peraturan korban yang ditetapkan oleh Tuhan disertai dengan perbuatan bejat; anak-anak Eli sangat jahat kerana mereka tidak mengendahkan TUHAN (ayat 12-17).
Elkana dan Hana memberikan contoh yang baik kepada kita pada hari ini, yang rela menyerahkan anaknya kepada Tuhan untuk melayani-Nya sepanjang hidupnya. Jika itu kehendak Tuhan bagi kita, berserahlah kepada Tuhan dan lakukan kehendak-Nya dengan hidupmu.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini mengajar kami supaya berserah kepada Tuhan sepenuhnya untuk melakukan kehendak-Nya. Ajarilah kami untuk mentaati kehendak-Mu ya TUHAN. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments