Markus 10:47-48 (TB) Ketika didengarnya, bahwa itu adalah Yesus orang Nazaret, mulailah ia berseru: "Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!" Banyak orang menegornya supaya ia diam. Namun semakin keras ia berseru: "Anak Daud, kasihanilah aku!"
Masih tentang Bartimeus. Agak menghairankan mengapa Bartimeus memanggil Yesus sebagai Anak Daud? Bagi kita yang tidak mengerti latar belakang panggilan ini, sudah tentu akan bingung! Nampaknya walaupun Bartimeus seorang yang buta, imannya bukan calang-calang! Sudah tentu Bartimeus pernah mendengar tentang Yesus sebelum ini kerana Yesus sudah mulai disebut-sebut seluruh Galilea dan Yudea pada masa itu. Ketika Yesus lalu berhampiran dengan kawasan Bartimeus, dia tidak melepaskan peluang ini. Dia menyerukan nama Yesus sebagai Anak Daud!
Nama Yesus sebagai Anak Daud tidak disebut oleh semua orang. Golongan yang mengetahui nama ini hanya orang Yahudi! Dari sini, kita mengetahui bahawa rupanya Bartimeus ini adalah seorang Yahudi. Ini sangat menarik. Namun, bukan semua orang Yahudi menyebut Yesus sebagai Anak Daud. Mengapa? Kerana bukan semua orang Yahudi mempercayai bahawa Yesus merupakan Mesias yang akan datang dan membebaskan Israel dari musuh-musuhnya serta akan menubuhkan kerajaan Israel yang penuh keadilan dan damai. Dalam erti kata lain, panggilan Anak Daud sama maksud dengan Mesias yang akan datang! Nampaknya iman Bartimeus lebih dahulu tertonjol berbanding sebahagian besar orang Yahudi yang lain. Dia lebih dahulu mempercayai bahawa Yesuslah Mesias yang dimaksudkan itu.
Bartimeus berteriak memanggil nama itu dan dikatakan bahawa banyak orang menegurnya supaya dia diam. Hal ini bukan disebabkan oleh orang ramai itu membenci atau memandang rendah Bartimeus, tetapi orang ramai bimbang kalau ada pegawai Roma yang mendengar dan memahami maksud panggilan itu, orang-orang Yahudi akan dihapuskan! Orang Yahudi percaya bahawa apabila Mesias datang, Mesias itu mampu menaklukkan semua musuh Israel termasuklah Empayar Roma dan berkuasa di muka bumi. Ini pasti akan menimbulkan kemarahan Kerajaan Roma apabila mendengar maksud di sebalik nama Anak Daud!
Namun, cuba kita lihat respon Bartimeus. Dia semakin keras menyerukan nama “Anak Daud”. Apa yang menyebabkan dia bertindak demikian? Ya betul, iman! Masih ada takungan iman di dalam hati Bartimeus walaupun keadaannya sangat menyedihkan; seorang buta yang hanya hidup dengan mengemis di pinggir jalan! Pasti lebih ramai orang yang hidupnya senang, selesa dan tidak mengasihankan seperti Bartimeus pada waktu itu. Tetapi nampaknya, secara rohani, iman Bartimeus lebih berbanding mereka semua!
Iman inilah yang membuatkan Bartimeus berteriak menyerukan nama Anak Daud! Takungan iman yang masih ada itulah juga yang menyebabkan dia semakin keras menyerukan nama Anak Daud tanpa menghiraukan bahaya nama itu, tanpa menghiraukan keadaan fizikalnya yang buta dan miskin! Iman mampu menjadikan orang yang terhina menjadi luarbiasa! Ketika melihat iman itu, Yesus mengatakan kepada Bartimeus, “imanmu telah menyelamatkan engkau!” dan Bartimeus sembuh. Bayangkan apa yang mampu dilakukan Yesus dengan iman yang masih ada di dalam diri anda dan saya.
Pr. Roy Dinsim
Comments