top of page

Mesej Paskah: Dibenarkan Di Dalam Kristus



2 Korintus 5:21 - TBDia yang tidak mengenal dosa telah dibuat-Nya menjadi dosa karena kita, supaya dalam Dia kita dibenarkan oleh Allah. 

 

Bagaimanakah kita dibenarkan oleh Allah? Firman Allah di atas jelas mengatakan  bahawa "dalam Dia (Kristus), kita dibenarkan oleh Allah." Tanpa Kristus, kita tidak mungkin dapat dibenarkan. Tiada jalan pembenaran yang lain, hanya Yesus Kristus (Yoh 14:6). Tetapi tahukah anda bahawa, untuk Yesus Kristus dapat menjalankan pembenaran-Nya terhadap kita, Dia perlu menggantikan identiti-Nya dengan identiti kita? Ya benar, saat kita percaya Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, identiti dosa kita diambil-Nya, dan identiti-Nya iaitu "kebenaran" diberikan-Nya kepada kita. 

 

Sebelum kita diselamatkan, identiti kita adalah dosa kerana kita adalah keturunan Adam yang berdosa. Identiti Yesus pula adalah kebenaran kerana Yesus berasal dari Syurga dan Dia tidak mengenal dosa. Namun, demi pembenaran kita, Dia telah menjadi dosa. Identiti Yesus bukanlah dosa tetapi hanya kerana kita, Dia rela menjadi dosa. Maksudnya, Dia mengambil, menerima dan menyerap identiti kita yang berdosa itu masuk ke dalam diri-Nya sehingga dosa menjadi identiti diri-Nya. 

 

Itulah sebabnya Yesus Kristus yang dihukum di kayu salib dan bukan kita. Seluruh murka dan penghukuman Allah telah dilampiaskan kepada-Nya kerana Allah tidak dapat bertoleransi dengan dosa. Maka, penghakiman-Nya yang adil terhadap dosa telah dilaksanakan di kayu salib. Upah dosa ialah maut (Rom 6:23) dan di mana ada dosa, di situ ada penghukuman Allah. Yesus Kristus telah menjadi korban yang sejati dengan menanggung upah dosa sepenuhnya bagi pihak kita. Oh bukankah kasih Allah begitu besar terhadap kita? 

 

Bukan setakat itu sahaja, selepas Yesus menjadi dosa dan membereskan isu dosa kita melalui kebangkitan-Nya, identiti "kebenaran" diberikan-Nya kepada kita sebagai identiti kita yang baru. Kita menjadi anak-anak Allah yang hidup kerana dibenarkan di dalam identiti Kristus yang telah bangkit! Dengan itu, identiti kita yang baru itu adalah semata-mata hanya kerana anugerah Allah dan bukannya hasil usaha dan kebaikan kita! Karya-Nya di kayu salib sangat bermakna bagi kita kerana di situlah terjadinya pertukaran identiti secara ilahi.  

 

Bukankah sangat indah untuk senantiasa merenungkan kebaikan dan kasih Allah dalam kehidupan kita? Setiap kali saya merenungkan kasih Allah dan apa yang telah diperbuat-Nya di kayu salib, damai Allah mengalir membersihkan dan menyegarkan jiwa. Bulan paskah ini merupakan kesempatan yang sangat indah untuk kita menjiwai karya salib Kristus. Kasih-Nya tidak pernah berkesudahan dalam hidup kita. Haleluyah!

 

Pr Roy Dinsim

 

Σχόλια


bottom of page