top of page

Mesej Pra-Natal: Jangan Takut!


Lukas 2: 10 - 11

10. Lalu kata malaikat itu kepada mereka: "Jangan takut, sebab sesungguhnya aku memberitakan kepadamu kesukaan besar untuk seluruh bangsa:

11. Hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, yaitu Kristus, Tuhan, di kota Daud.


Adalah sangat menyenangkan dapat mendengar kata malaikat yang berbunyi "Jangan takut...". Perkataan ini sangat melegakan, melepaskan rasa tertuduh dan terhukum serta memberi rasa damai antara manusia dengan Allah. Inilah yang saya rasakan ketika membayangkan diri berada di tempat para gembala itu. Namun, yang lebih merasakan situasi sebenar adalah para gembala kerana mereka berada di tempat kejadian. Kita hanya membaca kisah ini, para gembala mengalami sendiri situasi tersebut. Betapa beruntungnya mereka!


Walau bagaimanapun, kita tidak terlepas dari berkat yang dialami oleh para gembala kerana sekarang kita memiliki Roh Kudus. Roh Kudus mampu mengungkapkan berkat ini kepada kita pada hari ini. Ini yang saya dapati; sebelum kita dipercayakan dengan sesuatu yang besar, kita perlu dihiburkan atau dilepaskan daripada ketakutan!


Perhatikan bahawa malaikat perlu berkata "jangan takut" terlebih dahulu kepada para gembala sebelum mempercayakan mereka dengan berita kesukaan yang begitu besar. Ketakutan adalah suatu bentuk keterikatan. Para gembala terikat dengan ketakutan kerana kemuliaan Tuhan yang datang daripada kehadiran malaikat. Mereka perlu dihibur atau ditenangkan terlebih dahulu supaya ketakutan tidak menutupi tujuan atau mesej yang ingin disampaikan oleh malaikat. Bukankah kehidupan kita seperti itu juga? Kepercayaan hanya dapat diberikan di saat ada kestabilan.


Para gembala adalah golongan kecil dan paling rendah dalam lapisan masyarakat Yahudi pada zaman itu, namun mereka dianggap layak oleh Tuhan untuk dipercayakan dengan suatu berita kesukaan yang sangat besar untuk seluruh bangsa. Berita itu adalah: "Hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, yaitu Kristus, Tuhan, di kota Daud." Berita ini bukan berita biasa-biasa kerana pertama, berita ini untuk seluruh bangsa di muka bumi dan yang kedua, berita ini merupakan berita penggenapan kepada perkara yang paling dinanti-nantikan orang Yahudi iaitu kedatangan Mesias (Kristus).


Apakah yang membuatkan para gembala layak untuk mendapat kepercayaan ini? Tidak ada. Bahkan kerana status mereka yang tidak layak inilah yang telah menjadi qualification untuk mereka dilawat malaikat. Mengapa? Supaya kemampuan dan kelayakan itu sepenuhnya datang daripada Allah, tidak ditambah dengan kekuatan dan hikmat manusia! Allah sengaja memilih golongan yang paling rendah dan hina untuk mempercayakan berita kesukaan besar supaya tidak ada satu manusia pun yang merasa layak dan menyombongkan diri.


Ketika malaikat berkata "jangan takut", saat itulah para gembala dimampukan dan diperlengkapi untuk menerima dan menyampaikan berita kesukaan besar. Jika anda merasa layak untuk mendapat kepercayaan daripada Tuhan, mesej ini bukan untuk anda. Tetapi jika sebaliknya, Tuhan berkata "jangan takut...".


Pr Roy Dinsim

Comments


bottom of page